Warga emas lapor polis kawasan rumah diceroboh

0

KUCHING: Seorang lelaki warga emas membuat laporan polis mendakwa kawasan rumahnya diceroboh dan pelbagai barang berharga hilang, semalam.

Menurut sumber, insiden hanya disedari oleh mangsa yang berusia 60-an ketika terbangun dari tidur dan mendapati pagar rumahnya di Taman Fortune telah dibuka secara paksa iaitu sekitar jam 6 pagi.

Hasil pemeriksaan, dia mendapati beberapa barang yang disimpannya di halaman rumah telah hilang dipercayai dilarikan pencuri dan antara yang dilaporkan hilang ialah tong gas serta mesin pemotong rumput.

“Difahamkan, ini merupakan kali kedua rumah mangsa diceroboh selepas bulan April yang lalu di mana sebuah mesin kompresor dan kasut berjenama dilaporkan hilang,” kata sumber.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kehilangan dompetnya selepas rumahnya di Taman Stutong, di sini dipecah masuk semalam.

Mangsa berusia 20-an itu menyedari kehilangan dompetnya sebaik sahaja selepas melihat pintu belakang rumahnya terbuka dan mengalami kerosakan sekitar jam 7 pagi.

Bagaimanapun, mangsa hanya mendapati dompetnya yang mengandungi wang tunai serta dokumen peribadi sahaja hilang dan laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di balai polis berhampiran.