Beri peluang anak tempatan jawat guru Pendidikan Islam

0

KOTA KINABALU: Yakin ramai anak tempatan Sabah yang berkelayakan mampu mengisi kekosongan jawatan guru Pendidikan Islam yang dilihat berdepan dengan kekurangan pada masa ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran memberi latihan dan kursus bagi membolehkan mereka menjadi guru.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang juga menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama Islam Negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peluang berkenaan harus diberi kepada anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan agar masalah kekurangan guru pendidikan Islam yang kini kritikal dapat diatasi.

“Sebenarnya anak-anak kita dari pengajian tinggi ada dan saya minta mereka diberi peluang untuk mengambil peranan di sekolah-sekolah di bawah kementerian.

“Saya fikir jika mereka diberi latihan dan kursus yang sama (seperti graduan lain), anak-anak tempatan kita ramai yang boleh dan berkelayakan. Misalnya, graduan dari Universiti Al-Azhar Mesir, Jordan, Indonesia dan graduan universiti tempatan juga ada anak-anak tempatan dari Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan guru pendidikan Islam di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) kepada Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR), di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), di sini kelmarin.

Menyentuh mengenai proses mencapai sasaran 90 peratus anak-anak Sabah mengambil alih peranan mendidik di negeri ini untuk tempoh tiga tahun, beliau yakin proses itu mampu dilaksanakan.

Beliau turut mencadangkan agar JHEAINS bekerjasama dengan KPM dalam usaha menyediakan guru-guru untuk mengajar dalam subjek Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang mengalami kekurangan pada masa ini.

Pada Selasa lalu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah Datuk Jame Alip dipetik berkata, kekurangan guru dalam kalangan anak tempatan Sabah yang mengajar Pendidian Islam di negeri ini berada pada tahap kritikal.

Katanya, sehingga kini, Sabah masih memerlukan guru agama dari negeri lain.

“Misalnya di Likas, terdapat 11 buah sekolah agama, tetapi mereka yang belajar aliran agama tidak ramai yang mahu menjadi ustaz atau ustazah,” katanya.

Kemudian menyentuh mengenai sumbangan MAWIP kepada SAR itu, Arifin berkata, sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh SAR dengan sebaiknya.

Walaupun sumbangan itu mungkin tidak mencukupi tetapi, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ia dapat membantu SAR.

Katanya, selain sumbangan daripada MAWIP, sekolah-sekolah agama di negeri ini juga turut menerima bantuan daripada Kementerian Pendidikan, JHEAINS, Pusat Zakat Sabah (PZS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Di Sabah terdapat tiga jenis sekolah agama iaitu Sekolah Agama Negeri (SAN) di bawah JHEAINS, SAR yang diusahakan oleh rakyat dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN). Selain itu, terdapat juga Kelas Kafa di bawah kendalian JAKIM.

“Buat masa ini terdapat sebanyak 105 buah sekolah SAN dan 144 buah SAR dengan jumlah pelajar mencecah 46, 000 orang,” katanya.

Dalam penyerahan bantuan kelmarin, lima buah SAR dipilih bagi menerima sumbangan yang berjumlah RM50, 000. Sekolah-sekolah berkenaan adalah SAR Serusup, Tuaran, SAR Masjid Negeri Kota Kinabalu, SAR Al Hidayah Pasir Putih, Putatan, SAR Kulambai, Kota Belud dan SAR Tg Kapor, Kudat.