Pasukan khas kenal pasti masalah ibu tunggal: Azizah

0

Bincangkan masalah dan usaha membela nasib mereka

SANDAKAN: Sebuah pasukan petugas akan ditubuh bagi mengenal pasti masalah dihadapi golongan ibu tunggal di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata pasukan berkenaan yang diketuainya akan membincangkan secara keseluruhan masalah dihadapi selain membincangkan usaha membela nasib golongan berkenaan.

Katanya pasukan tersebut juga ditubuh sebagai kelangsungan usaha memperjuangkan hak dan keistimewaan golongan wanita khususnya golongan ibu tunggal di negara ini.

“Pasukan berkenaan akan disertai wakil wanita dari setiap negeri,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di sini, malam kelmarin.

Azizah berkata usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan meneruskan usaha memperkasa kaum wanita untuk terlibat dalam pembangunan negara.

Katanya usaha itu perlu mendapat bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak demi memastikan wanita di negara ini setanding wanita di negara lain.

Azizah berkata bagi tujuan itu, usaha menyasarkan 30 peratus golongan wanita terlibat dalam pelbagai sektor termasuk politik serta pengurusan tertinggi di negara ini masih diteruskan.

Katanya sehingga kini hanya 15 peratus wanita di negara ini terlibat dalam pengurusan tertinggi sama ada dalam politik, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor kerajaan mahupun sektor swasta. — Bernama