Ismadi bukti kehebatan

0

Pamer aksi cemerlang pada Kejuaraan FitWhey Classic 4.0 2015 di Bangkok

// Oleh Ghaz Ghazali //

TERBAIK: Ismadi menerima hadiah selepas diumumkan sebagai juara Kategori Bina Badan Pro di Bangkok, Thailand Ahad lalu.

TERBAIK: Ismadi menerima hadiah selepas diumumkan sebagai juara Kategori Bina Badan Pro di Bangkok, Thailand Ahad lalu.

THAILAND: Koperal polis, Ismadi Riji dan rakan senegara dari Sabah, Riano Engah mempamerkan aksi cemerlang pada Kejuaraan FitWhey Classic 4.0 2015 berlangsung di Bangkok di sini hujung minggu lalu.

Ismadi berjaya membawa pulang hadiah wang tunai 150,000 baht (kira-kira RM15,000) berserta trofi selepas menyingkirkan saingan seorang lagi rakan senegara, Dinesh Kumar dan peserta tuan rumah (Thailand), Surachai Plangaium dalam cabaran Bina Badan Pro.

Riano pula mengungguli kategori bina badan klasik yang menawarkan hadiah utama berjumlah 50,000 baht (RM5,000) berserta trofi.

Ahli bina badan tuan rumah, T Kasame pula menduduki tempat kedua manakala ahli bina badan veteran negara, Azahar Mohamad di tempat ketiga.

“Kemenangan di Bangkok ini benar-benar menggembirakan saya, terutamanya selepas meraih kejayaan pada Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2015 di Fairfax, Virginia (Amerika Syarikat) Jun lalu.

“Di samping itu, saya juga teruja melihat beberapa rakan Sarawak yang lain iaitu Eddie Chan dan Jeremiah Rukong bersama-sama memberi cabaran pada cabaran FitWhey 4.0 Classic,” kata anak kelahiran Kuching itu memberitahu Utusan Borneo di sini.

Ismadi, 36, juga berkata, beliau bercadang menutup tirai 2015 dengan menyertai acara Mr Borneo di Keningau yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

Secara keseluruhan, atlet Malaysia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada kejuaraan tahunan ini yang diadakan di Central World Bangkok, Ahad lalu.

Menurut Riano, para wakil negara tidak datang sebagai satu kontinjen.

“Acara FitWhey Classic Bangkok merupakan kejuaraan terbuka dan para peserta datang atas inisiatif mereka sendiri,” kata Juara Mr Sabah 2015 berumur 39 tahun itu.

Dalam kategori-kategori lain, Hairul Izwan Mohamad Aziz berjaya meraih tempat kedua dalam cabaran Bina Badan Terbuka – acara sama yang disertai oleh Jeremiah, 35.

“Saya berupaya menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik bagi kategori tersebut. Bagi saya, ia adalah satu pencapaian peribadi yang positif memandangkan ini adalah pendedahan pertama saya di arena antarabangsa,” kata juruteknologi makmal perubatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan itu.

Kejuaraan FitWhey Classic ini sering menarik ramai penyertaan dari seluruh dunia sejak melalui penjenamaan baharu pada 2012.

Sebelumnya, pertandingan itu dikenali sebagai Kejuaraan Siam Classic.