Kelab Perubatan Sibu ungguli Boling Amatur

0

SIBU: Kelab Perubatan Sibu mengungguli kejohanan Boling Amatur Terbuka Kategori Berkumpulan anjuran Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) dan Pejabat Belia Sukan Sibu di Sibu Superbowl di sini petang kelmarin.

Naib juara disandang Kelab DPP Sibu sementara tempat ketiga dimenangi Lembaga Air Sibu (SWB).

Bagi kategori individu lelaki diungguli Kasita Hamdan dari Kelab Perubatan Sibu sementara Wan Suandi (Kelab Perubatan Sibu) di tempat kedua dan Blu James (SDNU) tempat ketiga.

Lynda Ganui dari SWB mengungguli kategori individu wanita selepas menewaskan Adelina Yew (SDNU Kemuyang) di tempat kedua sementara Suria Senen (Kelab MDI) ketiga.

Seramai 50 peserta dari 10 buah badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden PEBEDAS, Alexander F. Diglin.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PEBEDAS Sibu, Benny Fredrick dan Setiausaha PEBEDAS Sibu, Dalas Robert.

Kejohanan itu diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara.