Libatkan Jabatan Pendidikan Sabah dalam pemilihan guru

0

Jabatan lebih arif mengenai kekurangan guru di pedalaman

MAHU TERLIBAT: Jame (tengah) bersama Lam (dua kiri) melawat Pameran ‘Segala Yang Anda Hargai, Dunia Bebas daripada Senjata Nuklear’ anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) Cawangan Sabah, di Kota Kinabalu,  kelmarin.

MAHU TERLIBAT: Jame (tengah) bersama Lam (dua kiri) melawat Pameran ‘Segala Yang Anda Hargai, Dunia Bebas daripada Senjata Nuklear’ anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) Cawangan Sabah, di Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah meminta agar dilibatkan dalam proses memilih bakal guru di Sabah me-mandangkan jabatan itu lebih arif mengenai kekurangan guru yang dihadapi di kawasan pedalaman negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata, walaupun kini jabatan itu terlibat secara langsung dalam menentukan penempatan guru di Sabah tetapi tidak ada kuasa dalam memilih bakal guru.

“Kita dalam jabatan lebih tahu sekiranya guru itu berasal dari Pensiangan, maka adalah baik guru itu mengajar di kawasan asalnya.

“Ini kerana tidak senang untuk mendapat guru mengajar di kawasan pedalaman. Jabatan Pendidikan Negeri juga perlu dilibatkan dalam pemilihan calon guru memasuki maktab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran ‘Segala Yang Anda Hargai, Dunia Bebas daripada Senjata Nuklear’ anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) Cawangan Sabah, di sini kelmarin.

Bagaimanapun katanya, kualiti dan standard guru itu perlu dikekalkan tetapi mungkin perlu kelonggaran sedikit berkaitan pengambilan guru di peringkat pedalaman.

Jame berkata, selama ini pemilihan guru itu diletakkan di bawah kuasa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah meminta agar dilibatkan dalam proses pemilihan itu khususnya untuk bakal guru di Sabah.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan kualiti dan standard yang ditetapkan terhadap seseorang guru itu kerana guru yang cemerlang, kreatif dan inovatif akan melahirkan murid yang baik.

“Oleh itu, seseorang guru itu perlu mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu katanya, jumlah kekosongan guru yang berjumlah 1,000 lebih orang adalah dari semua kawasan di Sabah, walaupun beribu guru yang memohon balik ke Sabah tetapi tidak semuanya itu diluluskan kerana ia adalah berdasarkan opsyen masing-masing.

Dalam pada itu, Jame sekali lagi menegaskan bahawa jawatan guru yang ditawarkan hanya dibuka kepada mereka yang berkelulusan dari jurusan pendidikan sahaja, dari mana-mana institut pengajian di negara ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi SGM Cawangan Sabah Lam Choi Sing.