Pasangan Penan tidak mampu bayar bil hospital

0

Namun mereka bernasib baik apabila menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo

// Oleh Clare Cinderella //

SEMAK: Bill menyemak tunggakan caj rawatan yang tidak dibayar oleh pasangan tersebut kerana tidak mampu berbuat demikian.

SEMAK: Bill menyemak tunggakan caj rawatan yang tidak dibayar oleh pasangan tersebut kerana tidak mampu berbuat demikian.

MIRI: Pasangan muda Penan yang tidak mampu membayar caj rawatan anaknya gelisah bagaimana cara hendak melangsaikan tunggakan tersebut sebagaimana yang diminta pihak hospital.

Tracia Tu, 25, dari Long Lamam, Hulu Baram sebuah perkampungan kecil di pedalaman Baram mengakui dia mempunyai beberapa bil tertunggak di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri di sini.

“Saya bukan tidak mahu membayar tetapi saya benar-benar tidak mampu membayarnya, jika mampu saya memang sudah bayar,” katanya ketika ditemui semasa menemani anak perempuannya, Connie Tomson, 7, yang terpaksa menjalani rawatan lanjut di sini kerana penyakit apendiks.

Menurut Tracia, dia bersama anak perempuannya itu turut ditemani suami, Tomson Yahaya, 30, serta bayi lelaki berusia setahun lebih dan adik perempuannya dibawa dari Klinik Kesihatan Long San menggunakan kenderaan Jabatan Kesihatan dan tiba di Hospital Miri, Ahad lalu.

Manakala temu janji rawatan anaknya dengan doktor dijadualkan hari ini.

Ketika ini, suami dan bayinya serta adik perempuannya tinggal di rumah tumpangan di Hospital Miri sementara menunggu keputusan kesihatan Connie.

Namun, Tracia bernasib baik kerana masalah menimpanya mendapat perhatian Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo yang kemudian mengarahkan pembantu peribadinya Bill Kayong bertemu pasangan tersebut semalam.

“Saya turut menyampaikan sumbangan peribadi yang didermakan oleh Dr Teo kepada pasangan tersebut dan saya juga difahamkan bahawa mereka mempunyai tunggakan bil rawatan yang tidak pernah dibayar.

“Saya memberi mereka jaminan bahawa Dr Teo akan membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut (tunggakan bil),” kata Bill.

Menurut Bill, pihaknya cuba membantu pasangan tersebut untuk balik semula ke kampung halaman mereka jika gagal mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan.

Tracia berkata dia ada mengemukakan masalah tersebut kepada hospital dan keutamaan mungkin hanya diberi kepada dia dan anaknya yang menerima rawatan itu untuk dihantar pulang menggunakan kenderaan Jabatan Kesihatan.

“Tetapi, saya bingung bagaimana dengan suami dan anak lelaki saya serta adik saya kerana kami tidak mempunyai wang untuk tambang mereka pulang dengan menaiki kenderaan persendirian,” tambahnya.

Menurut Tracia, Long Lamam terletak di Hulu Baram, mengambil masa kira-kira lapan jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan kebanyakan penduduk bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan persendirian dengan membayar tambang secara individu.