Tanggungjawab Jurutera semakin memcabar, kata pengerusi IEM Sarawak

0

KOTA SAMARAHAN: Perkembangan arus globalisasi menjadikan kerjaya jurutera semakin mencabar, justeru golongan jurutera perlu memantapkan ilmu kejuruteraan serta kepakaran masing-masing.

Pengerusi Institusi Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Sarawak, Haidel Heli berkata kecekapan jurutera amat dituntut di negara ini berikutan kepesatan pembangunan infrastruktur, khususnya bagi projek yang dilaksanakan di negeri Sarawak, seperti projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Jurutera tempatan perlu memantapkan diri dari segala aspek, khususnya ilmu kejuruteraan dan kepakaran agar dapat bersaing dengan jurutera luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Kejuruteraan 2015 anjuran Institusi Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan IEM Sarawak sempena sambutan Minggu Kejuruteraan peringkat kebangsaan di Unimas hari ini.

Haidel berkata Minggu Kejuruteraan 2015 selama seminggu itu (12 hingga 19 Okt) mampu menggalak dan mendedahkan para pelajar Unimas serta golongan mahasiswa dan mahasiswi tentang kepentingan penyelidikan dan inovasi.

“Program sebegini pastinya akan memberi ruang kepada para mahasiswa untuk mengetengahkan hasil-hasil ciptaan dan inovasi mereka,” tambah beliau.– BERNAMA