Jumaat Tokoh ASUS Negeri Sarawak 2015

0

KUCHING: Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim dinobatkan Tokoh Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) Peringkat Negeri Sarawak 2015 yang diadakan pada Sabtu lalu di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

Ia bagi menghargai sumbangan beliau yang sangat besar dalam memartabatkan sukan muaythai di Sarawak.

“Terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) di atas pengiktirafan ini. Ia cukup bermakna bagi saya dan seluruh warga muaythai di Sarawak,” katanya di sini semalam.

Jumaat turut merakam setinggi penghargaan terhadap agensi-agensi kerajaan serta kelab-kelab muaythai di sini yang bersama-sama dengan beliau selama ini memajukan sukan bela diri itu.

Menurutnya, beliau berikrar mengembangkan lagi sukan muaythai di Sarawak sehingga mencapai tahap lebih tinggi dan membanggakan pada masa akan datang.

“Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk saya bekerja dengan lebih gigih demi menjulang sukan muaythai di negeri ini.

“Saya juga percaya, pengitirafan ini akan mencetus semangat kalangan penggiat muaythai khususnya golongan belia untuk terus berusaha mengharumkan nama Sarawak dalam sukan ini,” katanya.

Selain beliau, beberapa penggiat sukan tempatan turut menerima anugerah pada majlis tersebut.

Antaranya Pui Jak Joon menerima Anugerah Pemimpin manakala Persatuan Tarian Naga, Singa dan Wushu Negeri Sarawak menggondol Anugerah Kategori Persatuan.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mohd Yahaya Basimin bersama Pengarah JBS, Abdul Haris Ishak menyampaikan hadiah kepada pemenang.