Laporan penemuan bangkai pesawat palsu

0

Pejabat Gabenor Wilayah Tawi-Tawi mengesahkan ia palsu selepas siasatan, pencarian

KOTA KINABALU: Pejabat Gabenor Wilayah Tawi-Tawi, selatan Filipina, menafikan maklumat mengenai penemuan bangkai pesawat dengan rangka mayat di Pulau Sugbay, selatan negara itu.

Hal ini dimaklumkan oleh Gabenor Wilayah Tawi-Tawi, Nurbert M. Sahali kepada Pengerusi BIMP-EAGA Lahad Datu, Nordin Ening.

Menurut Nordin dalam e-mel kepada Utusan Borneo, beliau menyalurkan maklumat berhubung kes itu yang dilaporkan oleh media susulan laporan polis oleh Jamil Omar di Ibu Pejabat Polis Sabdakan pada 10 Oktober lalu.

Serentak itu, katanya, Gabenor Tawi-Tawi mengarahkan gerakan mencari dan menyelamat ke Pulau Sugbay membabitkan pasukan polis, tentera dan pengawal pantai pada hari sama, kira-kira jam 8 malam, untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh Siti Kayam.

“Hasil daripada siasatan dan pencarian yang dibuat oleh pasukan mencari dan menyelamat, didapati bahawa maklumat yang diberikan adalah palsu.

“Pihak Gabenor sendiri telah menghubungi Ketua Polis Daerah Languyan dan Ketua Kampung Sugbay untuk mendapatkan maklumat penuh terhadap laporan itu sebelum mengesahkan bahawa maklumat yang disalurkan oleh Siti Kayam adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Pada Sabtu, Ketua Polis Sabah Datuk Jalaludin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bangkai pesawat di kepulauan di selatan Filipina.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sandakan oleh seorang lelaki bernama Jamil Omar pada Jumaat.

Menurut Jalaludin, pengadu mendakwa ibu saudaranya Siti Kayam telah menemui satu bangkai kapal terbang di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi.

“Pengadu mendakwa, ibu saudaranya telah memasuki bangkai pesawat itu dan melihat terdapat banyak rangka manusia dan telah menemui sehelai bendera Malaysia berukuran 70 inci panjang dan 35 inci lebar,” katanya.