Pelbagai prasarana sukan tetap akan dinaik taraf

0

LAWAS: Kerajaan tetap akan menaik taraf prasarana sukan bagi menyediakan pelbagai kemudahan sukan selesa kepada masyarakat di sini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata hasrat itu sejajar dengan perkembangan sukan yang boleh menjadi kerjaya serta mampu memberi pulangan lumayan jika serius dalam bidang diceburi.

“Kerajaan akan membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat luar bandar bersukan antaranya padang bola sepak Kampung Pemukat, Gelanggang Futsal Kampung Pemukat dan kemudahan sukan lain di sini antaranya menaik taraf Kompleks Sukan Lawas,” katanya ketika merasmikan kejohanan sulung Dart terbuka Piala Putera Kuala Lawas 2015 di Dewan Kampung Pemukat Kuala Lawas.

Turut sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail serta kenamaan lain.

Mengulas mengenai kejohanan itu, Awang Tengah berkata belia kampung berjaya membuktikan mereka mampu menganjurkan aktiviti peringkat tinggi dengan adanya limpahan kemajuan dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Beliau juga mahu kejohanan itu dijadikan medan bertukar pandangan, berkongsi kemahiran dan meluaskan jaringan persahabatan dar i Lawas , Limbang, Brunei, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Miri.

Sebanyak 86 pasukan membabitkan sekitar negara Brunei, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Miri, Limbang dan Lawas memeriahkan kejohanan itu.