Golongan sasar pelbagai bantuan wajar melakukan transformasi

0

TAWAU: Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan berkata, golongan sasar pelbagai program bantuan perlu melakukan transformasi bukan sahaja membabitkan minda tetapi juga usaha berterusan dalam mencari peluang meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, kerajaan sentiasa menyedari keperluan dan kehendak rakyat dalam usaha meningkatkan taraf hidup dengan menyediakan pelbagai skim latihan, kemahiran dan bantuan agar berupaya mewujudkan seluruh lapisan masyarakat berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan menjelang tahun 2020.

“Namun peluang tidak akan datang bergolek sendiri jika kita tidak mencarinya dan kerajaan sentiasa berusaha agar mereka yang tergolong dalam kelompok miskin tegar dan berpendapatan rendah serta mereka yang tidak mempunyai pekerjaan khasnya golongan belia sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat Apas berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Transformasi Belia Luar Bandar (myREZEKI Fest) Tahun 2015 anjuran Jabatan KEMAS Negeri Sabah, di Dewan Masyarakat Tawau di sini kelmarin.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah yang juga wakil rakyat Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah, Sharulnizam Jantan.

Terdahulu beliau berkata, program berkenaan adalah untuk memastikan golongan belia luar bandar mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kesedaran agama yang kuat serta mengenali potensi bagi merancang kerjaya untuk masa depan masing-masing.

“Kerajaan sentiasa menyedari perlunya golongan belia bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk ekonomi, kepimpinan dan sosial di semua peringkat, jadi perlu rebut peluang, buka minda dan jangan harap sektor kerajaan sahaja tetapi banyak peluang dalam sektor swasta dan keusahawanan,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai Bajet 2016, Tawfiq berkata bajet berkenaan adalah hadiah istimewa kerajaan kepada rakyat di negeri ini yang dilihat memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat dan memberi berita gembira khasnya kepada golongan belia di negeri ini.

“Pelbagai skim latihan, kemahiran dan vokasional yang dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapat peluang kedua mengikuti bidang kemahiran yang releven dengan negeri ini khasnya dari aspek pelancongan melalui pengumuman akademik pelancongan di negeri ini,” katanya. — Bernama

Malah katanya, pembinaan unit rumah melalui pelbagai skim yang diumumkan juga dapat membantu memudahkan golongan belia memiliki kediaman sendiri serta pelbagai lagi manfaat lain yang dapat dinikmati golongan belia di negeri ini termasuk kemudahan jalan raya yang lebih baik melalui pembinaan Pan Borneo.