Selaraskan elaun guru-guru

0
PENGHARGAAN:  Ellron (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada kontinjen SK Banjar diketuai oleh guru besar Jinli Ramle.

PENGHARGAAN: Ellron (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada kontinjen SK Banjar diketuai oleh guru besar Jinli Ramle.

Elak ketidakadilan dalam kerjaya perguruan di negara ini

KENINGAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ellron Alfred Angin meminta kerajaan persekutuan terutama sekali Kementerian Pendidikan agar menyelaras elaun hidup susah antara guru-guru di negeri ini dan Semenanjung.

Katanya, penyelarasan itu amat penting agar tidak berlaku ketidakadilan dalam perfesion perguruan di negara ini.

“Sebagai satu profesion yang sangat dihormati ini, sepatutnya setiap keseragaman elaun itu perlu diberikan keutamaan agar tidak ada yang terpingir atau berasa kecewa,” katanya memberitahu pemberita selepas merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Zon Bandar di Kompleks Sukan Keningau, pada Khamis.

Beliau sendiri berasa terharu dan sedih bila mendengar rungutan daripada guru-guru negeri ini yang seolah-olah dipinggirkan dan dianaktirikan daripada menikmati imbuhan seperti yang dinikmati oleh rakan sejawat mereka dari Semenanjung.

Ellron berkata, adalah tidak adil jika wujud perbezaan dan ketidakseragaman antara guru Sabah dan guru-guru Semenanjung yang bertugas di Sabah begitu juga guru Sabah bertugas di Semenanjung tidak mendapat elaun yang sama seperti dinikmati guru-guru Semenanjung yang bertugas di Sabah.

“Bagi saya guru Sabah perlu diberikan elaun yang sama seperti guru Semenanjung walaupun mereka (guru Sabah) bertugas di tempat sendiri dan terletak jauh terpencil di pedalaman negeri ini,” katanya.

Katanya, dalam konteks 1Malaysia, segala kemudahan yang disediakan kerajaan terutama sekali elaun perlu dikongsi bersama supaya ia nampak lebih adil dan tidak ada guru-guru di negara ini yang terpinggir atau dianaktirikan daripada menerima elaun yang sama rata.

“Bagi guru-guru Sabah yang bertukar ke daerah-daerah lain di negeri ini patut menikmati elaun perumahan seperti yang diterima oleh Semenanjung yang bertugas di Sabah,” katanya.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Sook turut meminta bajet tahun depan perlu memberikan keutamaan mengenai penseragaman segala imbuhan yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.

Jika ini dapat dilakukan, beliau yakin bahawa tidak ada lagi rungutan daripada guru-guru Sabah sama ada ketika bertugas di negeri ini atau dihantar bertugas di Semenanjung.

Dalam perkembangan lain, Ellron juga meminta kerajaan agar menaik taraf sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang kebanyakan usang dan daif dan perlu baik pulih atau pembinaan semula.

“Pada saya, bajet tahun depan perlu memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan di negeri ini kerana masih banyak lagi infrastruktur sekolah dan rumah-rumah guru perlu diberikan perhatian serius.

“Terdapat guru-guru yang mengajar di kawasan luar bandar terpaksa berulang-alik ke sekolah walaupun terpaksa berbelanja lebih kerana jarak yang jauh memandangkan keadaan rumah guru yang tidak selesa atau langsung tidak ada rumah guru di tempat mereka mengajar,” katanya.

Beliau meminta kerajaan agar dalam Bajet 2016, masalah sekolah dan rumah guru daif diatasi melalui pertambahan peruntukan yang diberikan kepada negeri Sabah.