ESSCom, rt perkukuh kerjasama melalui pelaksanaan SRS

0

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Rukun Tetangga (RT) telah memperkukuhkan kerjasama melalui pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) cegah jenayah secara bersepadu di kawasan taman perumahan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata usaha bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk polis, (Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan RT itu telah digerakkan secara holistik bagi membantu mengawal dan mengawasi kawasan taman-taman perumahan daripada diceroboh penjenayah.

“Oleh itu semua pihak termasuk penduduk di kawasan taman perumahan perlu memainkan peranan demi menjaga keselamatan dan keamanan, termasuk saling kenal mengenali antara satu dengan lain bagi memudahkan pengecaman penceroboh yang cuba memasuki dan melakukan jenayah di kawasan masing-masing.

“Dalam konteks keselamatan, jiran perlu mempunyai sikap ‘menjaga tepi kain orang’ termasuk mengawasi dan memberi perhatian kepada rumah jiran yang berhampiran. Kita juga tidak boleh meletakkan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan kepada pasukan keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kawasan SRS 2015 dan Rondaan Keselamatan Bersepadu Peringkat Daerah Lahad Datu, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah Delin Liet Blaun, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali, Ketua Polis Daerah ACP Hamzah Ahmad dan Timbalan Komander ESSCom Dr Mohd Kenali Basiron.

Terdahulu, Delin Liet berkata SRS bersepadu merupakan satu kerjasama strategik untuk mengadakan rondaan secara bersama-sama di kawasan perumahan bagi mencegah berlaku jenayah seperti curi, samun dan pecah rumah.

“Saya meminta semua anggota SRS yang terlibat dalam Skim Rondaan Sukarela ini agar menjaga tingkah laku, tidak bertindak di luar batas-batas undang-undang dan rondaan perlu diadakan di kawasan rukun tetangga masing-masing kerana kita tidak boleh melaksanakan rondaan SRS di luar daripada kawasan kita,” katanya. — Bernama