Peruntukan khusus disediakan atasi masalah pencemaran sungai

0

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan menyediakan peruntukan khusus untuk disalurkan kepada sekolah yang terlibat dalam usaha mengatasi pencemaran sungai di negeri ini.

Usaha itu amat penting berikutan terdapat empat sungai yang dikenal pasti sebagai zon tercemar iaitu Sungai Darau, Sungai Menggatal, Sungai Inanam dan Sungai Likas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ia akan dibincangkan bersama seterusnya ditentukan selepas mesyuarat antara kementeriannya bersama jawatankuasa pengurusan sekolah yang terlibat.

Menurutnya, usaha itu akan diterajui oleh kementerian bersama kerajaan tempatan serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam melaksanakan usaha sedemikian.

“Kementerian akan menyediakan peruntukan yang sesuai bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam inisiatif ini khususnya sekolah di luar zon sasaran.

“Ini akan dapat membuktikan kemampuan mereka dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terutamanya dalam usaha mengekalkan kebersihan sungai yang ada di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Alam Sekitar Malaysia, di sini kelmarin.

Masidi berkata, kerjasama itu juga melibatkan pelbagai agensi termasuklah kerajaan yang bukan hanya mengekalkan kebersihan tetapi turut menerapkan tabiat baik itu kepada generasi muda.

Katanya, keperluan menangani punca kepada pencemaran termasuklah memberi kesedaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar tidak membuang sampah sesuka hati.

“Kebanyakan sampah datang dari kawasan kampung berhampiran sungai dan sampah itu hanyut ke darat seterusnya menyumbang lambakan sampah seperti yang berlaku di Tanjung Lipat.

“Melainkan kita mengubah sikap, masalah ini akan terus berlanjutan kerana kita mampu mengatasinya menerusi pendedahan awal kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak muda mengenai keperluan tidak membuang sampah.

Selain itu, Masidi juga berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama bagi menjayakan usaha itu untuk memastikan habitat flora dan fauna serta keindahan sungai tetap terpelihara.

“Justeru, apa yang diperlukan adalah kerjasama erat di semua peringkat termasuklah kementerian bagi membincangkan satu pendekatan dan garis panduan yang sistematik.

“Saya berfikir dengan adanya beberapa garis panduan dan bekerjasama, masalah ini akan dapat diatasi,” katanya.

Masidi juga menyokong penuh pendekatan baru oleh Wetlands Sabah untuk bekerjasama dengan pemaju, arkitek dan jurutera.

Menurutnya, pendekatan itu amat baik dilaksanakan dan perlu dibincangkan secara bersama bagi berkongsi perbincangan mengekalkan keindahan paya bakau yang ada di kawasan bandar raya ini.

Dalam sambutan berkenaan, sebanyak 14 sekolah termasuk SM All Saints, SM Stella Maris, SM Shan Tao, SM Sanzac, SMK Bandaraya, SK Tebobon dan SJK(C) Yick Nam mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna dan aktiviti mencari harta karun.