Sabah ambil langkah agresif

0

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus mencari peluang dalam pelaburan asing khususnya sektor perkhidmatan berasaskan pengetahuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, kerajaan sedar pentingnya keperluan untuk membuka dan menarik penyertaan asing yang lebi besar dalam ekonomi tempatan.

“Kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan terus mengambil langkah agresif untuk menggalakkan pelaburan asing ke negeri ini.

“Kita juga melihat potensi untuk mewujudkan kerjasama erat dengan Republik Czech untuk menggalakkan perkongsian perdagangan, pelaburan dan perniagaan,” katanya dalam ucapan perasmian pada Forum Perniagaan Czech-Malaysia (Sabah) di Shangri-La Tanjung Aru, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Musa yang juga Pengerusi SEDIA berkata, Sabah juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan delegasi perniagaan Czech untuk menerokai peluang pelaburan dan perniagaan di Sabah.

Katanya, Malaysia adalah negara mesra perniagaan yang sentiasa mengalu-alukan pelabur asing dan tempatan bagi membantu negara ini terus kekal berada di landasan betul bagi mencapai matlamat pembangunannya.

“Menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kita juga mengalu-alukan pelaburan dalam pelancongan, pertanian, industri minyak gas dan tenaga, minyak sawit, sektor pembuatan, logistik dan juga pendidikan,” katanya.

Tambahnya, pelabur SDC turut mendapat manfaat menerusi pelbagai pakej insentif fiskal di dalam kelompok yang ditetapkan melalui SEDIA, atau di seluruh negeri melalui agensi kerajaan yang berkaitan.

“Ini termasuk tawaran insentif seperti pengecualian cukai sepenuhnya ke atas pendapatan berkanun sehingga 10 tahun, elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak selama lima tahun dan pengecualian sepenuhnya duti import dan pengecualian cukai jualan, tertakluk kepada dasar semasa.

“Tempoh insentif cukai ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh SEDIA sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Musa berkata, insentif itu disediakan untuk pelaburan dalam bidang pembangunan strategik khusus, kelompok dan projek utama, termasuk Kinabalu Gold Coast Enclave, Sabah Agro-Industrial Precinct, Hab Pendidikan Sandakan, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah, Lembah Ternakan Dalaman, Kluster Bersepadu Marin dan Kluster Perindustrian Minyak Sawit Lahad Datu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkata, SEDIA juga telah mengambil bahagian dalam beberapa misi dagangan dan pelaburan ekonomi utama Eropah dalam Kesatuan Eropah.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Menteri Luar Republik Czech Lubomir Zaoralek.