MAN berkuasa daftar perkahwinan pasangan anak negeri Sabah

0

TENOM: Perkahwinan yang dilangsungkan mengikut upacara adat di kampung perlu didaftarkan di pejabat Mahkamah Anak Negeri (MAN) daerah salah seorang pasangan pengantin untuk memperoleh sijil perkahwinan sebagai pengesahan suami isteri.

Ketua Daerah Tenom OKK David Jani berkata, sijil perkahwinan yang dikeluarkan MAN sama kesahihannya dengan sijil perkahwinan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan sijil itu merupakan salah satu dokumen yang diperlukan apabila mendaftarkan kelahiran anak pasangan itu kelak.

“MAN berperanan antara lain mengeluarkan sijil kahwin kepada penduduk Anak Negeri Sabah sahaja yang bukan beragama Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan fungsi MAN mendaftarkan perkahwinan diselaraskan di seluruh negeri mengikut enakmen MAN 1992 Sub Seksyen 6(1), (c) dan (1).

Menurutnya, pendaftaran perkahwinan di MAN memerlukan dua orang saksi pasangan pihak lelaki dan perempuan selain ketua kampung di kampung asal salah seorang pasangan berkahwin.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sijil perkahwinan kepada Tsen Fun Kong dan pasangannya Azizah Antukoh di pejabat MAN Daerah Tenom kelmarin. Turut hadir, Ketua Anak Negeri (KAN) Lawerence Apok.

Sementara itu, David menyatakan program Mahkamah Bergerak di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang Melalap baru-baru ini adalah berkaitan keperluan memperoleh sijil perkahwinan yang sah dengan memberi bantuan proses lewat sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pihaknya mendapati sebahagian penyebab kenapa wujud kes kelahiran tidak dapat didaftarkan ialah kerana kelalaian pasangan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka sejak awal lagi.

“Masalah kelewatan pendaftaran kelahiran adalah kes paling banyak berlaku yang berpunca daripada kelalaian ibu bapa mendaftar dalam tempoh 42 hari daripada tarikh anak dilahirkan,” katanya.

Katanya, ekoran daripada kegagalan mendaftar kelahiran anak, maka bila tiba waktunya anak-anak tidak dapat memproses permohonan kad pengenalan.