Pilih agensi pengendali umrah berlesen dengan kpk, elak tertipu

0

SANDAKAN: Pemilihan agensi pengendali umrah berlesen  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) perlu diutamakan orang ramai bagi mengelakkan kes penipuan.

Pengarah Pejabat KPK Negeri Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata di bawah Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas, garis panduan penawaran pakej umrah telah ditetapkan kepada agensi pelancongan berlesen.

Katanya harga minimum pakej umrah adalah RM4,900 bagi tempoh 12 hari 10 malam.

Menurutnya pakej umrah ditawarkan meliputi tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan, makan dan minum, bayaran visa dan pasport, upah Mutawwif dan darat.

MKSU dianggotai 12 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dengan KPK bertindak sebagai pengerusi, berfungsi sebagai penyelaras bagi mengawal selia perkara berhubung pengendalian pakej umrah, katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah/Ziarah di sini, semalam.

Majlis itu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohd Hamsan Supain dihadiri 110 peserta daripada agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ag Ahmad Zaki berkata MKSU berperanan sebagai pusat sehenti dan menjadi saluran terhadap segala penyelesaian aduan berkaitan pengendalian pakej umrah kepada orang ramai.

Beliau berkata sejak 2012 hingga September lepas, sebanyak 57 kes kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 berkaitan penipuan pakej umrah dilaporkan kepada KPK di seluruh negara.

Pembatalan empat lesen turut dilakukan terhadap agensi pelancongan, katanya.

Menurutnya pada masa akan datang, KPK akan melaksanakan pengeluaran Sub Lesen Khas Umrah kepada syarikat pengendali umrah/ziarah sedia ada dalam usaha membanteras kes penipuan. — Bernama