Kawasan tarikan pelancongan di Sabah kini dalam ‘Google Street View’

0

KOTA KINABALU: Pelancaran Imej Street View atau ‘pemandangan langit’ bagi kawasan tarikan pelancongan di Sabah dalam Google dilihat sebagai satu usaha yang baik bagi memperkenalkan Sabah kepada dunia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, memandangkan Sabah mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik, paparan imej Sabah dalam ‘Google Street View’ itu diharap akan membantu merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Katanya, pengalaman virtual dengan melihat imej yang menarik tentang Sabah yang ditonjolkan melalui aplikasi Google Street View itu pasti akan menarik kehadiran lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke sini.

Pelancaran Google Street View bagi kawasan tarikan pelancongan di Sabah itu setakat ini memberi tumpuan kepada Gunung Kinabalu serta pulau-pulau yang terdapat di Sabah.

Ketua Operasi Street View Malaysia, Indonesia dan Thailand Nhazlisham Hamdan berkata, selepas pelancaran imej ‘street view’ bagi jalan-jalan awam di Sabah dan Sarawak pada Julai lalu, kini mereka memperkenalkan koleksi Gunung Kinabalu serta pulau-pulau cantik serta tarikan alam semula jadi di Sabah.

Kini, imej puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu (sebelum kejadian gempa) boleh dilihat melalui imej street view Google.

Untuk imej selepas gempa bumi, beliau berkata perancangan memang ada untuk mengumpulkan imej terbaharu Gunung Kinabalu dan imej berkenaan akan cuba dikumpulkan selepas pendakian ke puncak dibuka semula.

Katanya, imej-imej berkenaan dirakan menggunakan ‘Street View Trekker’ serta sistem kamera sandang Google.

Antara kawasan tarikan pelancong di Sabah yang berada dalam koleksi itu termasuklah Pulau Kapalai, Pulau Mabul dan Pulau Mantanani.

Nhazlisham berkata, buat pertama kalinya imej menarik tentang Sabah melalui street view dapat dilihat oleh pengguna dan ia menjadikan Google Maps lebih bermanfaat.

Menyentuh jalan awam kini, hampir 80 peratus jalan awam yang berada di Sabah dan Sarawak boleh dicari melalui street view.

Katanya, visi Google adalah untuk memetakan imej yang terdapat di dunia ini. Namun perlu diingat, sesetengah kawasan dimiliki oleh individu perseorangan dan untuk memasukkan imej kawasan berkenaan, pihak Google memerlukan kelulusan pihak berkaitan.

“Untuk Sabah, kita sudah memasukkan hampir semua jalan awam dalam street view. Untuk sesetengah kawasan yang perlu kelulusan, kita perlukan rakan kerjasama seperti untuk Gunung Kinabalu, kita mendapat kerjasama Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB),” katanya.

Untuk kawasan konservasi pula, beliau berkata pihaknya tidak berjanji akan ke sana tetapi selagi kawasan itu boleh dimasuki oleh manusia, mereka akan cuba mendapatkan kelulusan untuk memasukkan imej kawasan berkenaan dalam street view.