Pegawai terlibat peperiksaan awam perlu lebih berintegriti

0

KOTA KINABALU: Semasa minggu peperiksaan awam yang bermula hari ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah) Datuk Jame Alip menasihatkan ketua dan pegawai peperiksaan di negeri ini agar lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas menjaga pusat-pusat peperiksaan.

Beliau berkata, JPN Sabah tidak mahu ada berlaku kelonggaran dalam integriti pegawai peperiksaan hingga menyebabkan berlaku perkara tidak diingini semasa peperiksaan berlangsung.

“Kita tidak mahu perkara tidak baik bermula di Sabah. Sekiranya ada kes yang berlaku, kita tidak akan berkompromi sebaliknya, kita akan terus laporkan perkara itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sdan Malaysian University English Test (MUET) di Wisma Pendidikan, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, beliau juga menyarankan Pegawai Pendidikan Daerah agar bersiap siaga untuk mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awan Daerah bagi memastikan perjalanan peperiksaan SPM dan STPM berjalan lancar.

Jame berkata, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, langkah proaktif di semua peringkat khususnya Pejabat Pendidikan Daerah dan peringkat sekolah perlu diambil bagi memastikan perjalanan peperiksaan awam itu tidak terganggu.

Beliau berkata, JPN Sabah juga sudah mengedarkan surat siaran mengenai ‘Persediaan Menghadapi Peperiksaan Awam 2015’ mengenai operasi khas ‘Ops Payung’ dan ‘Ops Topeng’ iaitu langkah yang perlu diambil bagi memastikan calon peperiksaan masih dapat menduduki peperiksaan walau berdepan dengan bencana seperti jerebu dan banjir.

Mengenai jumlah calon yang akan menduduki peperiksaan SPM pada 2 November hingga 8 Disember ini, beliau berkata, tahun ini terdapat seramai 39, 862 orang calon akan menduduki SPM berbanding 39, 525 orang. Ia melibatkan sebanyak 322 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Untuk STPM penggal tiga 2015 yang akan bermula 2 hingga 16 November ini, ia melibatkan seramai 6, 813 orang calon, iaitu 6,742 calon sekolah kerajaan dan 30 calon sekolah swasta.

Bagi STPM Ulangan penggal satu tahun 2015 pula, seramai 5,456 orang calon yang akan menduduki peperiksaan itu. Manakala, seramai 5, 083 calon pula akan menduduki peperiksaan STPM ulangan penggal dua tahun 2015.

Manakala, untuk MUET sesi November 2015 yang akan dilaksanakan pada 7 November ini, seramai 2,813 orang calon yang terlibat di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Jame turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan calon hadir lebih awal ke pusat-pusat peperiksaan. Calon pula, dinasihatkan supaya sentiasa menyemak jadual waktu peperiksaan agar tidak berlaku sebarang kesilapan.