Wujud salah laku pemimpin komuniti dalam urusan memohon MyKad

0

SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendedahkan ada menerima aduan yang mengaitkan pemimpin komuniti dengan amalan salah laku dokumen sokongan memohon MyKad.

Ketua Staff Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom Brig Jen Datuk Md Rahim Mohamad berkata, perkara terbabit perlu ditangani bersama dan tidak boleh dibiarkan terus berlarutan.

“Seharusnya pemimpin-pemimpin komuniti di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) tidak menggadai maruah hanya kerana mahu mendapatkan habuan ‘wang kopi’.

“Kita ada menerima aduan yang mengaitkan pemimpin komuniti, khususnya ketua kampung dan pengerusi JKKK dengan amalan salah laku berkaitan kes sebegini,” katanya.

Md Rahim berkata, pemimpin komuniti ESSZone perlu bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab membangunkan kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Pulau Mabul di pekarangan Pusat Pembangunan Insan, di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Staff Pengutkuasaan Maritim Kapten Wan Mat Wan Abdullah, Ketua Kampung Pulau Mabul Yusof Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Abdullah Ali.

Mengulas lanjut, Md Rahim berkata kes penculikan tidak mudah ditangani tanpa kerjasama semua pihak, lebih-lebih lagi jika ada orang dalam yang berada di Sabah terlibat.

“ESSCom komited menjaga, mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara ini khususnya di wilayah ESSZone, namun memerlukan kerjasama rakyat.

“Malah, ESSCom turut komited menyelaras operasi bersepadu untuk membersihkan negeri ini daripada aktiviti penyeludupan dan pendatang tanpa izin termasuk tali barut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat khususnya komuniti ESSZone supaya memberikan kepercayaan penuh dan mengenepikan pendapat negatif terhadap ESSCom.

Menurutnya, setakat ini ESSCom terbukti berjaya membantu menenangkan keadaan di ESSZone semenjak diwujudkan, termasuk berhasil menggagalkan sembilan kes cubaan menculik.