Padah memotong

0

Oleh Sandy Mark Luna//

REMUK:  Pasukan bomba berusaha mengeluarkan pemandu yang tersepit apabila SUV itu terbabas selepas bertembung dengan lori.

REMUK: Pasukan bomba berusaha mengeluarkan pemandu yang tersepit apabila SUV itu terbabas selepas bertembung dengan lori.

SERIAN: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan tanah 20 tan di Jalan Serian- Sri Aman, berhampiran Kampung Menyan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Chung Aik Peng berkata, nahas itu berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam ketika SUV jenis Ssangyong Rexton yang datang dari arah Sri Aman menuju ke Kuching dipercayai memotong sebuah kenderaan namun tidak sempat kembali ke laluan asal.

“Ia kemudian bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan dan akibat kemalangan tersebut, pemandu SUV meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang lori cedera parah.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua pengguna jalan raya agar mengutamakan keselamatan masing-masing serta orang lain dengan memandu secara berhemah agar selamat tiba ke destinasi dituju,” katanya ketika dihubungi semalam.

DAHSYAT: Keadaan lori yang terbalik akibat rempuhan kuat tersebut.

DAHSYAT: Keadaan lori yang terbalik akibat rempuhan kuat tersebut.

Rempuhan kuat itu menyebabkan lori dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita itu terbalik manakala SUV terbabas ke kawasan belukar menyebabkan ia remuk teruk manakala pemandunya pula tersepit.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Chong Kwang Lim dari Jalan Stampin Tengah di Kuching meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian yang diketuai PPgB Muhammad Mirza Dzalmira Miraz tiba di lokasi kira-kira jam 11 pagi bagi membantu mengeluarkan mayat Chong yang tersepit.

Pemandu lori dikhuatiri patah tulang punggung manakala penumpang lori dipercayai patah kaki kanan, dikejarkan ke Hospital Serian untuk menerima rawatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986.