Talian terpelantik punca bekalan elektrik terputus

0
KAWAL: Anggota polis trafik mengawal aliran trafik di laluan lampu isyarat Wisma SABERKAS yang mengalami kesesakan teruk semalam.

KAWAL: Anggota polis trafik mengawal aliran trafik di laluan lampu isyarat Wisma SABERKAS yang mengalami kesesakan teruk semalam.

KUCHING: Bekalan elektrik terputus selama lebih dua jam semalam membabitkan kawasan Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Bintangor.

Bagaimanapun, keadaan berjaya dipulihkan semula dalam tempoh dua jam oleh pasukan teknikal Sarawak Energy Berhad (SEB) bermula dengan kawasan Sibu.

Menurut kenyataan media SEB semalam, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada talian penghantaran stesen jana kuasa di Oya-Selangau terpelantik pada jam 1.31 petang.

Kerja-kerja pemulihan dijalankan serta-merta oleh pasukan teknikal SEB dan berjaya memulihkan semula bekalan elektrik di semua kawasan terjejas dalam tempoh dua jam.

SEB berkata, bagi memastikan kecekapan dan sistem yang lebih baik pada masa depan ia membuat pelaburan besar dalam projek transmisi teras 500kv yang dijangka siap pada pertengahan 2016.

Susulan gangguan itu semalam, SEB memohon maaf di atas kesulitan dan akan beusaha untuk menambah baik perkhidmatan.

Jika pelanggan masih mengalami gangguan elektrik, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB menerusi talian 1300883111 bagi khidmat segera.

Sementara itu, gangguan bekalan elektrik semalam menyebabkan beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini mengalami kesesakan teruk selepas kegagalan lampu isyarat berfungsi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Jalan Badaruddin, DSP Alexson Naga Chabu ketika dihubungi semalam berkata antara yang mengalami kesesakan teruk ialah laluan di lampu isyarat Datuk Merican Salleh, Penview/Pending, Sungai Apong, Jalan Foochow, Bayor Bukit/Jalan Urat Mata, Mendu, Central Timur, Jalan Stutong Baru/Lapangan Terbang, Jalan Song, Wisma SABERKAS, Jalan Tun Ahmad Zaidi, Jalan Rock, Jalan Penrissen Batu 4, Jalan Budaya Sarawak Club dan persimpangan RTM.

Susulan kesesakan teruk itu, seramai 51 anggota polis trafik terdiri daripada 10 pegawai kanan polis dan 41 anggota dikerahkan untuk membuat rondaan di sekitar bandar raya ini bagi mengawal aliran trafik.

Bagaimanapun, menurut Alexson, aliran trafik di sekitar bandar raya ini berjaya dikawal selepas bekalan elektrik kembali pulih sekitar jam 3.15 petang.

Selain menjejaskan aliran trafik, gangguan elektrik semalam turut menyebabkan operasi pejabat kerajaan dan premis perniagaan terhenti buat sementara waktu.  C_PC0009346