Lebih 70 vendor akan sertai bazar sempena Hari Krismas

0

Bazar pra-Krismas diadakan pada 28 dan 29 Nov di Karamunsing

DATANG BERAMAI-RAMAI: Irwan menunjukkan poster yang digunakan untuk bazar yang akan diadakan.

DATANG BERAMAI-RAMAI: Irwan menunjukkan poster yang digunakan untuk bazar yang akan diadakan.

PENAMPANG: Penganjur bazar, KK Legasi akan menghimpunkan lebih daripada 70 vendor dari seluruh negeri Sabah pada 28 dan 29 November, bersempena ‘Pre-Christmas Bazaar’ di Karamunsing.

Pengerusi penganjur ‘Pre-Christmas Bazaar’, Irwan Iswandy berkata, bazar yang bakal berlangsung di tapak acara luar Karamunsing Shopping Complex itu juga akan diserikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik.

“Bazar ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada penjual atas talian yang kebanyakannya belia wanita untuk memasarkan produk mereka secara terbuka, di samping memberikan ruang sesama peniaga untuk berkongsi pelanggan.

“Antara aktiviti yang akan berlangsung adalah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan golongan dewasa, pertandingan mencari bakat, kempen menderma darah, pertandingan kostum Krismas, nyanyian dari artis tempatan dan menghias pokok krismas,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di sini kelmarin.

Beliau berkata, sempena dengan Kempen Memerangi Keganasan Terhadap Wanita pada minggu itu juga, pihak penganjur juga  menjemput seorang aktivis wanita, Sabrina Aripen untuk menyampaikan mesej-mesej berkaitan kepada peserta bazar dan pengunjung.

Katanya, aktiviti sedemikian sangat sesuai untuk dijadikan tempat untuk menyebarkan mesej berkenaan isu memerangi keganasan terhadap wanita kerana pihaknya percaya ramai kaum wanita yang akan hadir ketika acara berlangsung.

“Antara produk yang akan dijual oleh vendor terlibat adalah pakaian, tudung, kosmetik, perkhidmatan, produk kraf dan seni, makanan dan juga barangan perhiasan wanita serta lelaki.

“Beberapa produk pakaian dan makanan hasil buatan masyarakat tempatan juga akan dijual.

“Sekumpulan anak muda juga akan menganjurkan ‘KK Talent Contest’, di mana bakat-bakat akan dicungkil melalui uji bakat pada hari pertama (28 November) dan akan dipertandingkan pada hari terakhir bazar (29 November).

“Pertandingan bakat terpendam ini terbuka kepada orang awam, dan bakal dihadiri oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid,” katanya.

Beliau berharap bazar ini bukan sahaja memberikan ruang berniaga kepada golongan muda, tetapi akan membantu menyebarkan mesej-mesej berguna kepada masyarakat.

Selain itu katanya, KK Legasi telah menganjurkan 9 bazar sebelum ini dan bazar dianjurkan sebagai acara tradisi pungutan dana, KK Legasi telah bersetuju untuk mengutip dana bagi membantu Monsopiad Cultural Village salah satu pusat tarikan pelancong di Penampang yang ketika ini memerlukan dana untuk diperbaiki.