Bekas pelajar SM St Francis Convent giat laksanakan aktiviti amal

0

KOTA KINABALU: Bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah St Francis Convent giat melaksanakan aktiviti amal dalam usaha  mencari dana untuk menyiapkan bangunan baharu sekolah itu.

Dalam satu majlis muhibah sekolah itu yang diadakan di sini kelmarin, ramai dalam kalangan bekas pelajar khususnya dari lepasan tahun 1965, 1972 dan 1979 hadir untuk menyerahkan sumbangan yang berjaya dikumpul.

Selain daripada dana yang dikumpul dari kalangan bekas pelajar sekolah itu, SM St Francis Convent juga mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Sehingga kini, Lembaga Pengurusan sekolah itu telah menerima peruntukan sebanyak RM250,000.

Untuk menyiapkan bangunan sekolah itu sepenuhnya termasuk kelengkapan kemudahan infrastruktur asas, sejumlah RM8 juta masih diperlukan.

Pelan bangunan baharu sekolah itu diluluskan oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Jun tahun lalu.

Ia termasuklah empat blok bangunan baharu yang terdiri daripada 22 buah kelas.

Empat lagi bangunan baharu akan menempatkan fasiliti untuk kelas sains, ekonomi, kemahiran hidup dan lain-lain.

Jumlah kos pembinaan termasuk sebuah dewan serbaguna adalah berjumlah RM12 juta. Pembinaan bangunan sekolah baharu itu dijangka akan disiapkan pada Jun 2018.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penasihat Lembaga Pengurusan Sekolah St Francis Convent, Archbishop John Wong Soo Kau.