Kemalangan jalan raya di Malaysia serius

0

Catatkan kadar kemalangan ke-20 tertinggi di dunia daripada 160 negara: Liow

PENYERAHAN MOTOSIKAL: Liow (tengah) menyerahkan replika kunci motosikal kepada Ismail (kanan) simbolik penyerahan 20 buah motosikal jenis Kawasaki Versys 650 selepas melancarkan program ‘Jom JPJ’ di Bentong, semalam. — Gambar Bernama

PENYERAHAN MOTOSIKAL: Liow (tengah) menyerahkan replika kunci motosikal kepada Ismail (kanan) simbolik penyerahan 20 buah motosikal jenis Kawasaki Versys 650 selepas melancarkan program ‘Jom JPJ’ di Bentong, semalam. — Gambar Bernama

BENTONG: Kadar kemalangan jalan raya di negara ini serius, apabila mencatatkan kadar kemalangan ke-20 tertinggi di dunia daripada 160 negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, faktor kelajuan kenderaan menjadi penyumbang utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini, walaupun pelbagai peraturan dan penguatkuasaan kepada pengguna jalan raya dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan pihak polis.

Penunggang motosikal antara yang tertinggi mengalami kemalangan maut, katanya.

“Jumlah kemalangan jalan raya tahun ini mencatatkan 361,408 kes dengan 4,940 kes kemalangan maut. Daripada jumlah kes kemalangan maut, 60 peratus mangsa  terdiri daripada penunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program JOM JPJ di tempat letak kereta Terminal Bas Bentong, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi MCA Pahang Senator Datuk Hoh Khai Mun, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Ismail Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad.

Sehubungan itu Liow mahu pelbagai langkah pencegahan ditingkatkan untuk para penunggang motosikal bagi menurunkan kadar kematian dalam kalangan mereka selain penguatkuasaan pihak polis dan JPJ.

“Kami juga akan pastikan kurikulum kelas memandu untuk penunggang motosikal lebih berkualiti dan pastikan penunggang motosikal terutama golongan muda serta warga emas mempunyai lesen memandu.

“Mana-mana yang belum ada lesen, JPJ ada menyediakan pelbagai program bagi mereka mendapatkan lesen seperti porgram MyLesen untuk golongan muda,” katanya.

Terdahulu Liow merasmikan aset baharu bagi menampung keperluan operasi JPJ di seluruh negara iaitu kenderaan SUV (sport utility vehicle) Honda CRV sebanyak 80 unit, kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger (71 unit), motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys 650 (20 unit) dan van Forf Transit (14 unit). — Bernama