Mini Regata Sarawak 2015 persiapan hadapi SUKMA

0

MIRI: Mini Regata Sarawak 2015 anjuran Persatuan Perahu Layar Sarawak berlangsung di Marina Bay dan perairan Tanjong Lobang berakhir semalam merupakan persiapan Sarawak menghadapi SUKMA XVIII tahun depan.

Presiden persatuan, Harifen Mansor berkata selain memantapkan keyakinan dan kemahiran peserta kejohanan itu untuk memantap dan melengkapkan pemahaman serta pengetahuan pegawai teknikal bagi kejohanan pelayaran.

“Kejohanan ini merupakan landasan para pegawai teknikal menjalani pratikal dengan memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan diperolehi menerusi kursus dianjurkan untuk mereka,” katanya di sini semalam.

Harifen menjelaskan, kejohanan tersebut merupakan acara kemuncak Kursus Teknikal Kejohanan Pelayaran Modul Kedua bermula 10 November lalu dan berakhir semalam.

Kursus lima hari itu dianjurkan Persatuan Perahu Layar Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Teknikal SUKMA 2016 Sarawak dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

“Ini merupakan sambungan modul pertama yang dianjurkan sebelum ini bertujuan memberi pendedahan untuk para pegawai teknikal dan atlet-atlet SUKMA 2016,” jelasnya.

Seramai 22 orang atlet terdiri 16 lelaki dan lima wanita mengambil bahagian pada kejohanan tersebut manakala peserta menyertai kursus teknikal terdiri 30 orang dan 27 orang lelaki dan tiga wanita.

Manakala bengkel modul kedua kali ini dijayakan oleh instruktur kursus, Lawrence Yeow dari Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dan Hamdan Yahya dari Persatuan Perahu Layar Negeri Sarawak (SAYA).

Petang semalam turut diadakan majlis penyampaian sijil dan hadiah disempurnakan oleh Kaunselor Ernest Goh mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai.