Hoki: Malaysia berdepan tentangan sengit Jepun

0

KUANTAN: Jurulatih Malaysia, A. Arulselvaraj meramalkan skuad kendaliannya bakal berdepan cabaran sengit menentang Jepun dalam saingan Kumpulan A Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia 2015 di Stadium Hoki Kuantan, hari ini.

Beliau berkata ini kerana, Negara Matahari Terbit itu dilaporkan melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Jepun sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai budaya sukan terbaik, namun dari segi prestasi kita mempunyai rekod lebih baik.

“Kita akan bermain secara bijak dan menyusun taktik lebih baik untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Pemain juga menunjukkan kematangan dan mutu permainan mereka juga amat memberangsangkan sejak beberapa bulan lepas,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Arulselvaraj berharap pasukan negara dapat mencatat kemenangan ke atas Jepun bagi memudahkan laluan mara ke peringkat seterusnya.

“Saya yakin prestasi pasukan kita berada dalam keadaan cukup baik untuk muncul juara pada kejohanan ini,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan tipis 4-5 kepada India semalam, beliau berkata ia berpunca daripada kesilapan mudah dan pemain perlu memperbaikinya dengan memberi lebih tumpuan pada perlawanan akan datang.

Sementara itu, jurulatih Jepun Yamabori Takahiko berkata pasukannya akan menampilkan aksi terbaik untuk mencatat kemenangan ke atas Malaysia.

“Kami bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi perlawanan ini dan saya yakin ia akan menjadi satu perlawanan menarik.

“Kami juga bernasib baik kerana tiada pemain yang cedera setakat ini, dan ia memberi kelebihan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan tersebut,” katanya. — Bernama­