Kejayaan Chong Wei ‘tutup mulut’ pengkritik

0

KUALA LUMPUR: Kejayaan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka China semalam membuktikan dia masih pemain yang perlu dihormati.

Malah kejayaan menundukkan musuh tradisi, Lin Dan serta juara dunia, Chen Long di negara mereka sendiri, berjaya menepis segala kritikan negatif segelintir pihak terhadap prestasinya selama ini.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kemenangan Chong Wei ke atas pemain nombor satu dunia, Chen Long di final Terbuka China semalam berjaya menolak persepsi orang ramai yang mengatakan dia sudah sampai ke penghujung kariernya sebagai pemain.

“Kini semua pihak termasuk MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Kementerian Belia dan Sukan, serta MSN (Majlis Sukan Negara) perlu lebih fokus membantu persiapan Chong Wei untuk berada dalam ranking empat terbaik dunia sebelum Sukan Olimpik Rio de Janeiro, tahun depan.

“Sangat penting untuk Chong Wei berada dalam senarai empat terbaik dunia supaya dapat diletakkan dalam kelompok pilihan yang baik bagi undian Olimpik nanti.

“Bagi saya untuk mendapat pingat emas Olimpik bukan sesuatu yang mudah kerana selepas kekalahan Lin Dan serta Chen Long, China pasti akan memikirkan strategi baharu untuk meningkatkan prestasi pemain mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Wisma OCM di sini semalam.

Prestasi Chong Wei sejak bebas daripada penggantungan lapan bulan akibat doping pada Mei lepas, agak merudum terutama selepas muncul naib juara di Kejuaraan Dunia, Ogos lalu.

Ini termasuk tewas di peringkat kelayakan Terbuka Korea Selatan dan tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Jepun dan Korea yang semuanya bertaraf Siri Super sebelum menjuarai Terbuka Perancis bulan lepas diikuti Terbuka China semalam.

Ranking dunia Chong Wei ketika ini di tangga kesembilan dijangka meningkat minggu ini selepas menundukkan dua bintang China itu.

Chong Wei akan beraksi di Siri Super Terbuka Hong Kong bermula hari ini selain Grand Prix Emas Macau pada dari 24-29 Nov. — Bernama