Terbaik dalam 13 tahun

0

Oleh Patricia Gari//

CEMERLANG: Rakayah dan Dr Abdul Rahman bersama para pegawai kanan JPN Sarawak bergambar dengan calon-calon UPSR 2015 yang memperoleh keputusan cemerlang, semalam.

CEMERLANG: Rakayah dan Dr Abdul Rahman bersama para pegawai kanan JPN Sarawak bergambar dengan calon-calon UPSR 2015 yang memperoleh keputusan cemerlang, semalam.

KUCHING: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang diumumkan serentak di seluruh negara semalam menyaksikan Sarawak mencatat pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) terbaik dalam tempoh 13 tahun sejak 2003.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon berkata, GPN bagi Sarawak tahun 2015 ialah 2.48 berbanding 2.52 pada 2014.

“Indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negeri ialah GPN dan bagi peringkat sekolah, Gred Purata Sekolah (GPS). Nilai GPN dan/atau GPS yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik,” ujarnya ketika mengumumkan keputusan UPSR 2015 Peringkat Negeri di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.

Beliau memberitahu, prestasi Sarawak berdasarkan GPN adalah selaras dengan tema JPN Sarawak iaitu ‘Menjulang Pendidikan Negeri Sarawak’ dan ‘Battle Cry’ – ‘Fly Kenyalang Fly, Fly High.’

Selain itu, katanya, 124 sekolah mencatat pencapaian penguasaan minimum Gred C 100 peratus dalam semua mata pelajaran tahun ini, iaitu 121 Sekolah Kebangsaan (SK) dan tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pada 2014, ujarnya, hanya 116 sekolah mencatat pencapaian Gred C 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

“Sementara itu, 45 sekolah mencatatkan pencapaian antara 90.0 peratus dan 99.9 peratus dan 169 mencatat pencapaian antara 80.0 peratus dan 89.9 peratus pada 2015.

“Pada 2014, hanya 44 sekolah mencatat pencapaian antara 90.0 peratus dan 99.9peratus dan 165 sekolah mencatat pencapaian antara 80.0 peratus dan 89.9 peratus,” jelasnya.

Keputusan cemerlang pula, menurut Rakayah, daripada 41,199 calon menduduki UPSR, 4.85 peratus iaitu 1,998 calon SK dan Sekolah Bantuan Kerajaan berjaya mencatat pencapaian penguasaan cemerlang peringkat A bagi semua mata pelajran berbanding 4.41 peratus (1,862 orang) daripada 42,176 calon pada 2014.

Beliau memberitahu, daripada 1,998 calon memperoleh A semua mata pelajaran, 1,530 adalah calon SK dan 468 pula calon SJKC.

“SK menunjukkan peningkatan sebanyak 0.64 peratus atau daripada 4.33 peratus pada 2014 kepada 4.97 peratus pada 2015, manakala SJKC menunjukkan penurunan sebanyak 0.19 peratus daripada 4.68 peratus pada 2014 kepada 4.49 peratus pada 2015,” katanya.

Pada tahun ini juga, tambahnya, terdapat 17 sekolah di seluruh Sarawak berjaya menghasilkan 20 dan ke atas calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching mencatatkan bilangan calon paling ramai di peringkat A dalam semua mata pelajaran diambil iaitu 58, diikuti SK St Teresa (Kuching) 39 calon dan SK St Anne, Sarikei (37).

Mengenai pencapaian sekolah luar bandar atau pedalaman, Rakayah berkata tahun ini, sekolah-sekolah berkenaan mencatatkan keputusan UPSR sangat memberangsangkan dari segi GPS.

Beliau memberitahu, 20 daripada 22 sekolah memperoleh GPS 1.50 (sekolah memperolehi prestasi cemerlang) dan ke bawah adalah sekolah luar bandar dan pedalaman, antaranya SK Bakerkong, Daro (GPS 1.00), SK Sungai Kelabit Miri (1.00), SK Taba Sait Padawan (1.16), SK Sungai Setulan, Bintulu (1.20), SK Sungai Sebatu, Baram (1.25), SK Kampung Kuala Sibuti, Subis (1.30) dan SK Nanga Nansang, Song (1.30).

“Tiga sekolah di kawasan pedalaman juga mencapai GPS cemerlang iaitu SK Sungai Menuan, Kapit (1.33), SK Tan Sri Datuk Temenggong Jugah, Song (1.40) dan SK Ulu Engkari, Lubok Antu (1.44).

“Dua sekolah di DUN Pantai Damai turut memperolehi keputusan cemerlang iaitu SK Sibu Laut dengan GPS 1.40 dan SK Sungai Aur (1.80),” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan calon dan ibu bapa permohonan semak semula perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan.

Permohonan semak semula, katanya, perlu dihantar terus kepada Lembaga Peperiksaan dan permohonan diterima selepas 17 Disember 2015 tidak akan dipertimbangkan.