UMS aset penting bagi Sabah: Abidin

0
SIMBOLIK: Abidin (dua kiri) bertukar skrol dengan Harun.

SIMBOLIK: Abidin (dua kiri) bertukar skrol dengan Harun.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah aset penting kepada Sabah memandangkan institusi itu menjadi pusat pengeluaran modal insan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Abidin Madingkir berkata, UMS turut menjadi lokasi tumpuan persidangan tempatan dan antarabangsa.

“Peranan UMS dalam pembangunan modal insan dengan melahirkan graduan yang mempunyai ilmu pengetahuan luas serta mampu mengekalkan jati diri adalah satu kejayaan dalam melahirkan produk berkualiti.

“Ilmu pengetahuan yang luas dapat diaplikasikan dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada komuniti dalam pelbagai aktiviti dan secara tidak langsung menjadi contoh kepada komuniti di luar kampus,” katanya pada Majlis Perarakan Berjubah Graduan UMS, di sini kelmarin.

Abidin berkata, kunci yang diserahkan kepada para graduan pada majlis itu juga adalah simbol penting dan pengiktirafan kepada mereka sebagai generasi terdidik dan profesional yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Sementara itu, Naib Cancelor UMS Prof Datuk Dr Harun Abdullah berkata, Konvokesyen UMS kali ke-17 akan berlangsung pada 21 hingga 23 November ini dengan seramai 5,081 pelajar yang berjaya dalam pengajian mereka akan meninggalkan institusi itu.

“Kesemua mereka adalah daripada 65 program akademik yang ditawarkan oleh UMS menerusi 10 fakulti dan bergandingan dengan tiga pusat kecemerlangan penyelidikan serta 14 unit pusat kajian yang telah ditubuhkan.

“UMS sentiasa menggembleng tenaga untuk bergerak ke hadapan demi memartabatkan budaya, seni dan warisan bangsa,” katanya.

Harun turut menasihati para graduan supaya pandai mencari peluang pekerjaan dan membuat pilihan yang bijak kerana peluang pekerjaan terbentang luas.

Katanya, graduan perlu mengetahui bagaimana mencorak masa depan sendiri dengan membuat keputusan yang bijak.