100 jurulatih terlibat SUKMA 2016, kakitangan MSNS sertai bengkel

0

SANTUBONG: Seramai 100 jurulatih terlibat dalam persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dan kakitangan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menyertai Bengkel Analisis Prestasi Jurulatih dan Retreat Kakitangan MSNS bertempat di Holiday Inn Damai Beach Resort pada 16-19 November lalu.

Program anjuran MSNS itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai aspek kejurulatihan dan analisis termasuk persiapan mental menghadapi kejohanan tersebut.

Antara penceramah dijemput semasa bengkel ialah Pensyarah Pendidikan dan Psikologi Universiti Malaysia Sabah, Pathmnanathan K. Suppiah, Ketua Jabatan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, V.V. R. Vivekanandan K. Ramiah, Pakar ‘Conditioning’ Majlis Sukan Negara (MSN), Andre Richard dan Clarence Leong dari MSNS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) merangkap Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee dalam ucapan penutupannya berkata peserta bengkel pentingnya menimba pengetahuan yang baharu dalam bidang kejurulatihan.

Beliau memberi contoh jaguh pecut dunia dari Jamaica, Usain Bolt yang tidak mempunyai peralatan baik namun mampu muncul juara.

Sementara itu, seramai 50 sukarelawan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta orang awam menyertai Kursus Sukarelawan SUKMA di JAKIM, Telaga Air dari 15 hingga 19 November lalu.

Kursus berkenaan adalah pertama dianjurkan bertujuan melatih sukarelawan membantu melicinkan proses penganjuran SUKMA 2016.

Sesi kedua kursus bermula hari ini di lokasi yang sama dan dijangka disertai seramai 200 sukarelawan.