Gempur JDT habis-habisan

0

Sarawak hanya perlu seri untuk ke slot suku akhir Piala Malaysia 2015

// Oleh Harry Ilias //

KanowitBERSIAP SEDIA: Pemain-pemain Sarawak meningkatkan latihan sebagai persiapan menghadapi JDT di Johor Baharu malam ini.

BERSIAP SEDIA: Pemain-pemain Sarawak meningkatkan latihan sebagai persiapan menghadapi JDT di Johor Baharu malam ini.

KUCHING: Sarawak berikrar berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan mutlak pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2015 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Pengendali sementara, David Usop berkata skuad bimbangannya akan ‘all out’ pada perlawanan malam ini untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata bagi mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

“Ini peluang terbaik Sarawak untuk mara ke suku akhir dan kita akan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan misi itu tercapai.

“Saya percaya semua pemain juga mempunyai keinginan tinggi untuk membawa skuad Sarawak mara ke pusingan seterusnya,” kata David mengulas perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam.

Bagaimanapun, bekas pemain Sarawak itu menggesa semua pemainnya meningkatkan disiplin serta fokus terhadap perlawanan penting malam ini tatkala menjadi tetamu juara Asia itu.

Menurutnya, anak-anak buah Roberto Carlos Gómez suadh pastinya tidak akan memberi laluan mudah kerana mereka mahu mengekalkan rekod bersih kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

“Saingan menentang JDT sememangnya dijangka sengit tetapi saya yakin semua pemain kita (Sarawak) mampu mencipta kejutan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, David berkata tahap kecergasan semua pemainnya berada pada paras terbaik dan bersedia sepenuhnya berdepan JDT malam ini.

Katanya, hanya penyerang Joseph Kalang Tie tidak dapat diturunkan kerana masih menjalani hukuman penggantungan lima perlawanan.

Sarawak tewas 3-0 di pangkuan JDT pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Negeri bulan lalu.

“Perlawanan ini bukan sekadar menguji kemahiran tetapi juga mental semua pemain kita kerana berdepan skuad yang dibarisi ramai pemain berpengalaman dan terbaik,” katanya.

Sarawak hanya perlu seri untuk mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini yang akan bermula pada 24 November ini.