Regu Rojo juara badminton Pesta Kanowit

0

KANOWIT: Regu Rojo dinobatkan juara kategori lelaki senior Kejohanan Badminton Tertutup sempena Pesta Kanowit 2015 di Stadium Tertutup Kanowit.

Naib juara disandang regu Ben 10 manakala tempat ketiga bersama dimenangi regu Sam Sam Lok dan Alesha.

Kategori beregu lelaki junior diungguli Regu Mega selepas membenam cabaran regu No Name selaku naib juara, sementara tempat ketiga bersama dimenangi regu Amigos dan Amirul 2.

Regu Sweet GM menjuarai kategori wanita terbuka selepas menewaskan lawannya, regu V & L di tempat kedua manakala regu Asfa dan regu Charley masing-masing memenangi tempat ketiga bersama.

Pertandingan dua hari itu bertemakan ‘Serakup Ari Main’ (Bersatu Melalui Sukan) dianjurkan Majlis Daerah Kanowit (MDK) dikelolakan Kelab Badminton Dayak Kanowit (KDBK) sebagai salah satu aktiviti Pesta Kanowit 2015 berlangsung dari 21 hingga 28 November ini.

Ia hanya terbuka kepada warga Kanowit (lahir, bekerja atau bermastautin) sahaja dan hanya tiga kategori sahaja dipertandingkan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiahnya disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kanowit merangkap Pengerusi MDK, Katis Noel Nyabong.

Hadir sama isteri Katis, Jenny Empaling, Kaunselor Charlie Salang dan Pengerusi KBDK, Mande Selungau.

Sementara itu, Mande berkata kejohanan itu sebagai medan mencungkil bakat-bakat baharu sukan badminton di samping merapatkan perpaduan kalangan pemain dan penonton.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MDK kerana memberi kepercayaan kepada KBDK menganjurkan pertandingan tersebut.

“Tidak lupa kepada semua ahli KBDK yang memberi komitmen menjayakan kejohanan ini dan berharap aktiviti itu terus mendapat sokongan semua pihak,” katanya.