Rafiq dan Safiah buktikan kehebatan

0

Meraih tempat keempat dan kelapan pada Piala Dunia Boling 2015 di Las Vegas

KUALA LUMPUR: Dua pemain negara Muhammad Rafiq Ismail dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menduduki tempat keempat dan kelapan pada Piala Dunia Boling 2015 di Las Vegas yang berakhir kelmarin.

Dalam kategori lelaki Muhammad Rafiq, 18, yang berada dalam kelompok lapan pemain terbaik berjaya melakukan 8,721 jatuhan pin untuk menduduki tempat keempat, tetapi ia tidak mencukupi untuk layak perlawanan akhir yang hanya untuk tiga pemain terbaik, menurut sesawang rasmi kejohanan www.qubicaamf.com.

Siti Safiyah pula mempamerkan permainan terbaik untuk bersaing dengan beberapa pemain berpengalaman apabila berjaya melakukan 8,304 jatuhan pin untuk berada pada kedudukan kelapan kategori wanita.

Juara bertahan Clara Juliana Guerrero dari Colombia telah berjaya mempertahankan gelaran juara wanita yang dimenanginya tahun lalu di Wroclaw, Poland, sementara Wu Siu Hong dari Hong Kong muncul juara kategori lelaki.

Clara berjaya mara ke akhir selepas muncul tebaik kalangan kelompok lapan pemain dengan mengumpul 8,896 jatuhan pin, mengetepikan juara dua kali dari Amerika Syarikat, Shannon Pluhowsky 2-0 (202-177, 243-238) pada perlawanan akhir.

Terdahulu Shannon berjaya mengalahkan Maria Bulanova dari Russia, 2-1 (219-174, 242-177, 238-194) pada separuh akhir.

Wu pula muncul juara selepas mengetepikan pemain Afrika Selatan Francois Louw dengan kemenangan 2-0 (233-219, 223-180).

Pemain berusia 31 tahun itu terlebih dahulu menyingkirkan pemain Singapura Muhammad Jaris Goh Ali Akbar Goh 2-0 (198-173 dan 223-194).

Sebagai rekod Syafiq Ridhwan Abdul Malek merupakan pemain lelaki tunggal negara yang pernah memenangi kejohanan tersebut pada 2012. — Bernama