ESSCom, renjer Taman Kinabalu antara empat penerima Anugerah Khas Menteri

0

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan renjer Taman Kinabalu adalah antara empat penerima Anugerah Khas Menteri pada Anugerah Pelancongan Sabah 2015 di sini malam kelmarin.

Penerima lain bagi anugerah itu yang disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun ialah syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan jurupandu arah Taman Kinabalu yang terlibat dalam operasi menyelamat semasa gempa bumi Ranau, Jun lalu.

Anugerah Pelancongan Sabah, yang dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah dan Sri Pelancongan Sabah, diadakan setiap dua tahun untuk mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi dalam industri pelancongan.

Masidi dalam ucapannya memuji renjer dan jurupandu arah Taman Kinabalu atas keberanian dan usaha menyelamat mereka semasa gempa bumi Ranau pada tahun ini terutamanya renjer kanan taman itu Martin Moguring, Gregory Duanis dan Mithun Jay Langgim.

“Jurupandu arah gunung dan renjer kita adalah beberapa orang yang paling berani di kawasan ini. Mereka bukan sahaja rajin tetapi mampu menyumbang bakti dalam masa yang diperlukan semasa krisis gempa bumi Ranau,” katanya.

Masidi mengucapkan terima kasih kepada ESSCom atas usaha mereka dalam mempertahankan, menguat kuasa dan meningkatkan keselamatan maritim di pantai timur Sabah untuk menghalang aktiviti pengganas di perairan Malaysia.

Beliau juga memuji AirAsia, yang juga dipilih sebagai syarikat terbaik pada majlis malam kelmarin kerana dapat meningkatkan ketibaan pelawat ke negeri ini dan membangunkan peluang perniagaan.

“AirAsia akan melancarkan penerbangan harian terus dari Wuhan, Wilayah Hubei China ke Kota Kinabalu tidak lama lagi berikutan pemeteraian memorandum persefahaman bagi mewujudkan hubungan persahabatan antara kedua-dua bandar pada Mei lalu,” katanya.

Masidi menggesa sektor pelancongan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dalam menghadapi cabaran pada tahun-tahun akan datang dengan menganggap masalah sebagai peluang. — Bernama