Penduduk mohon penyambungan segera bekalan tenaga elektrik

0

RANAU: Penduduk dari dua buah kampung di sini, Kampung Togop Darat dan Kampung Togop Laut merayu kepada kerajaan menerusi SESB supaya menyegerakan penyambungan bekalan tenaga elektrik kepada 140 buah rumah kediaman melibatkan 875 penduduk di dua buah kampung berkenaan.

Para penduduk yang ditemui mendakwa, pemasangan tiang elektrik telah siap sejak tahun 2012 manakala pemasangan pendawaian setiap rumah telah dijalankan sejak 2013 namun penyambungan bekalan tenaga elektrik belum dilaksanakan sehingga kini.

Jurucakap penduduk kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Togop Darat, Sauni Sabin ketika ditemui memberitahu, pihak syarikat yang bertanggunjawab menyiapkan pemasangan tiang dan pendawaian perumahan telah menyerahkan kepada SESB pada tahun 2014 untuk tindakan membuat penyambungan bekalan tenaga elektrik.

“Kami penduduk di sini, tidak tahu apa sebab dan masalah serta punca kelewatan pihak SESB untuk melaksanakan penyambungan bekalan elektrik, sedangkan pendawaian setiap rumah sudah pun siap,” jelas Sauni mewakili penduduk.

Menurutnya, seramai 515 penduduk dengan 85 buah rumah di Kampung Togop Darat, manakala di Kampung Togop Laut melibatkan 360 orang penduduk dengan bilangan rumah kediamannya 55 buah amat memerlukan kemudahan bekalan elektrik itu terutama untuk kegunaan anak-anak mereka memanfaatkan peralatan ICT.

“Selain penduduk dari dua buah kampung, kemudahan bekalan elektrik juga amat diperlukan untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) warga Kampung Togop Darat,” tegas Sauni.

Justeru katanya, tindakan positif daripada pihak kerajaan (SESB), amat diharapkan memandangkan bekalan elektrik itu merupakan kemudahan asas kepada penduduk dalam era teknologi maklumat kini.

“Kami mohon kepada Wakil Rakyat (ADUN) di sini supaya turut campur tangan mengatasi masalah kelewatan pelaksanaan bekalan tenaga elektrik di dua buah kampung terlibat,” tambahnya.