18 kes penipuan urus niaga ‘online’ direkodkan di Sibu

0

SIBU: Sebanyak 18 kes penipuan melibatkan pembelian secara ‘online’ atau atas talian direkodkan setakat ini melibatkan kerugian kira-kira RM64,250.

Ketua Polis Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata, pesanan produk rokok dalam talian iaitu melalui aplikasi WeChat antara kes paling tinggi dicatatkan dengan kerugian kira-kira RM26,000.

“Rentetan daripada laporan polis dibuat mangsa, polis berjaya memberkas dua orang suspek kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau ditanya mengenai jumlah kes penipuan pembelian dalam ‘online’ yang direkodkan di Sibu.

Sementara itu, dalam laporan media baru-baru ini memberitahu tiga lelaki kerugian kira-kira RM26,000 setelah rokok yang dipesan secara talian tidak sampai kepada mereka.

Bertindak di atas maklumat, polis pada 11 November lalu menahan dua orang remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun.

Suspek kemudiannya ditahan reman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Justeru itu, Mohd Kordi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati setiap kali membuat pembelian secara talian.

“Menjadi tanggungjawab orang ramai mengesahkan kesahihan termasuk memeriksa rekod penjual sebelum membuat sebarang pembelian,” jelas beliau.

Katanya, orang ramai tidak harus bersikap tamak hanya kerana harga ditawarkan jauh lebih murah daripada harga asal.