Balas sokongan padu

0

Oleh Jessica Jawing//

 

UNTUK RAKYAT: Adenan (enam kanan) bersama tetamu kehormat lain menunjukkan tanda bagus bersama para penerima surat hak milik tanah dan cek pampasan tanah, semalam.

UNTUK RAKYAT: Adenan (enam kanan) bersama tetamu kehormat lain menunjukkan tanda bagus bersama para penerima surat hak milik tanah dan cek pampasan tanah, semalam.

BAU: Kekukuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebahagian besarnya kerana sokongan padu dan berterusan rakyat luar bandar, justeru wajar untuk membalas sokongan itu dengan menekankan pembangunan luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, menyedari jurang kemiskinan antara bandar dan luar bandar yang amat besar, maka sudah tiba masa dan sewajarnya pembangunan diberikan kepada rakyat luar bandar.

“Kerajaan disokong oleh orang luar bandar dan kerajaan BN wujud kerana kebanyakan sokongan rakyat luar bandar. Di bandar ada sokongan, tetapi tidak seperti di luar bandar.

“Maka, anda semua berhak mendapat pembangunan kerana sokongan kepada kerajaan selama ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN dan cek pampasan tanah di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie dan ADUN Opar Ranum Mina.

Adenan berkata, beliau akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar kerana rakyat berhak menikmatinya atas sokongan berterusan kepada kerajaan BN selama ini.

“Perkara ini bukan hanya cakap sahaja, tetapi ia direalisasikan, misalnya pada tahun lepas pada persidangan (DUN) kita mendapat peruntukan RM500 juta untuk luar bandar.

“Tahun ini, pada persidangan akan datang saya juga memohon RM500 juta untuk pembangunan luar bandar dan ia adalah untuk pembinaan (kemudahan) seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, jambatan dan sekolah,” ujar beliau.

Ketua Menteri berkata, antara masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat luar bandar ialah mengenai penyukatan tanah mereka atau tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Kita memang akan meneruskan inisiatif ini. Saya tahu mungkin ada yang menyatakan kerajaan beri surat hak milik tanah kerana dekat Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Sedangkan kita melaksanakan perkara ini sepanjang masa, bukan sebelum pilihan raya sahaja. Malah, ia setiap tahun diadakan dan saya berharap tidak ada yang akan beranggapan sedemikian,” katanya.

Menurut beliau, kini ia bergantung kepada masyarakat atau pemilik tanah sendiri untuk disukat tanah mereka, malah mereka berhak untuk beralih sokongan kepada pembangkang jika beranggapan inisiatif itu tidak benar.

“Anda boleh pergi (sokong) pembangkang dan saya mahu anda bertanya kepada mereka dapat atau tidak mereka memberi (surat) tanah?” tegas beliau.

Katanya, insiatif penyukatan tanah NCR serta penyerahan surat milik individu dilaksana sejak empat tahun lalu dan sehingga kini kerajaan telah menyerahkan ribuan surat hak milik di bawah Seksyen 18 KTN.

Beliau memberitahu, inisiatif itu akan diteruskan sehingga semua tanah yang berkaitan disukat dan diberi surat hak milik kepada rakyat.

“Namun, ia mengambil masa yang lama kerana Sarawak sebuah negeri besar, malah 20 kali ganda lebih besar dari Melaka dan kita akan melaksanakan inisiatif ini sehingga tidak ada yang tertinggal lagi,” kata beliau.