Gereja St John tuntut ganti rugi

0

Oleh Michael Ubam//

LAPOR POLIS: Jamal menunjukkan laporan polis kepada pemberita di Sibu, semalam.

LAPOR POLIS: Jamal menunjukkan laporan polis kepada pemberita di Sibu, semalam.

SIBU: Kerosakan disebabkan kemalangan maut melibatkan sebuah kereta mewah dan sebuah motosikal petang kelmarin memaksa gereja St John di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini tampil membuat laporan polis untuk tuntut ganti rugi semalam.

Pengerusi Parochial Church Committee St John’s Church, Rev Jamal Senada berkata terdapat lima kerosakan dilaporkan termasuk dinding pagar konkrit, empat batu nisan kubur, lima lampu pagar, lima pasu bunga dan lain-lain kerosakan.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab tampil berbincang mengenai kerosakan-kerosakan akibat kemalangan itu agar dapat diperbaiki segera,” kata Jamal pada sidang akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun, pihak gereja belum memastikan jumlah kerugian berpunca kemalangan tersebut kerana pihak bertanggungjawab perlu berbincang dengan ahli keluarga iaitu waris empat kubur terjejas selain pihak gereja.

“Sehingga kini, kami belum dapat memberi maklum balas kepada pihak terlibat dalam kemalangan petang kelmarin berhubung tuntutan kami,” katanya menyifatkan kemalangan maut itu agak pelik dan teruk.

Memandangkan empat kubur juga terjejas dan mengalami kerosakan, Jamal berkata pihak komiti gereja mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda penghormatan kepada pemilik-pemilik atau mereka yang bersemadi di tanah perkuburan itu.

Semasa kejadian, Jamal berada di bahagian dapur apabila beliau terdengar bunyi impak kuat sekitar jam 6.20 petang.

“Saya hanya dimaklumkan oleh seorang kakitangan gereja bahawa ada kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal berlaku di luar gereja.

“Saya bergegas keluar dan mendapati pagar konkrit gereja pecah manakala seorang mangsa lelaki berada di atas salah satu daripada 20 kubur di situ,” katanya hairan apabila melibat sebuah motosikal berada di pekarangan gereja iaitu kira-kira 50 meter daripada mangsa dipercayai penunggang motosikal terbabit dilanggar.

Dalam kemalangan tersebut, seorang penunggang motosikal, 50, maut manakala pemandu kereta mewah berusia 26 tahun dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di sini kerana mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan.

Hasil siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku dipercayai akibat kecuaian pemandu kereta berkenaan.

Difahamkan, seorang pelajar perempuan juga terkorban dalam kemalangan di jalan sama berhampiran kawasan gereja tersebut dua tahun lalu.