Hasrat UNIMAS miliki hospital bakal direalisasi

0

Oleh Nick Fletcher//

 

KOTA SAMARAHAN: Hasrat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk memiliki hospital sendiri akhirnya bakal direalisasi apabila ia telah dipersetujui dilaksanakan menerusi kaedah pembiayaan pihak ketiga.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang, perkara tersebut akan dibawa ke kabinet untuk keputusan akhir dalam tempoh terdekat.

“Kaedah ini telah dipersetujui di mana kita akan menggunakan tiga pihak iaitu UNIMAS, UNIMAS Holding dan syarikat terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Program Public-Private Research Network (PPRN) di UNIMAS, semalam.

Turut hadir Naib Cancelor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Menjelas lanjut, Zaini berkata kerjasama tersebut telah dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani ketiga-tiga pihak baru-baru ini.

“Saya jangka kita boleh membawa perkara ini untuk pertimbangan kerajaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pembinaan hospital universiti itu hanya akan dapat dilaksanakan jika ia mendapat persetujuan muktamad semua pihak terlibat.

“Sebaik sahaja dipersetujui, pembinaan hospital ini akan terus dilaksanakan.

“Cuma kita perlu memuktamadkan persetujuan terlebih dahulu kerana kita mahu memastikan UNIMAS mendapat faedah yang tinggi dan menjana pendapatan daripada hospital ini,” katanya.

Sementara berhubung kos pembinaan hospital berkenaan, Zaini berkata ia dijangka bernilai RM400 hingga RM500 juta.

Baru-baru ini semasa menyempurnakan sidang kedua Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-19, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk UNIMAS memiliki hospital sendiri.

Justeru, beliau berkata akan meminta kerajaan persekutuan membina hospital tersebut.

“Terdapat beberapa universiti yang ditubuhkan lewat daripada UNIMAS tetapi sudah mempunyai hospital universiti sendiri.

“Maka saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita mempunyai hospital universiti sendiri dan kami (kerajaan negeri) akan meminta kerajaan persekutuan memberi sebuah hospital universiti kepada UNIMAS,” katanya.