KPDNKK perlu serius tangani cetak rompak: Masing

0
SERIUS: Masing (empat kanan) bergambar bersama Snowdan (tiga kiri) dan para penggiat seni Dayak tempatan semalam.

SERIUS: Masing (empat kanan) bergambar bersama Snowdan (tiga kiri) dan para penggiat seni Dayak tempatan semalam.

KUCHING: Gejala cetak rompak yang semakin berleluasa menjejaskan sumber rezeki artis industri seni Dayak tempatan.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, bakat kreatif dalam industri itu memerlukan pembelaan sekali gus membantu memelihara pembangunan kebudayaan, bahasa dan sektor pelancongan negeri.

“KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) perlu mengambil serius perkara ini dan ia harus dihentikan secepat mungkin sebelum ia melarat.

“Jikalau negara Singapura dan Brunei boleh menghentikannya (cetak rompak), kenapa tidak Malaysia? Mereka (KPDNKK) patut berasa malu kerana tidak melakukan kerja mereka sebaik mungkin.

“Jalin kerjasama dengan PBT dan FINAS untuk mengeluarkan lesen bagi membantu membendung masalah cetak rompak ini di Sarawak,” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Persatuan dan Artis di pejabatnya di sini, semalam.

Seramai 30 penggiat seni tempatan menghadiri perjumpaan tersebut yang diketuai oleh Pengerusi DAMA, Snowdan Lawan.

Sementara itu, Pengerusi PERISAI yang juga seorang produser dan artis, Embat Lala memberitahu pihaknya menanggung kerugian besar berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Antara lokasi dikenal pasti menjadi lubuk CD dan VCD cetak rompak di negeri ini ialah Saratok, Sarikei, Sibu, Miri dan Bintulu yang menyebabkan penjualannya merudum teruk sejak lima tahun lepas.

“Kalau dahulu, kita masih boleh membezakan CD dan VCD asli dengan cetak rompak. Sekarang mereka mempunyai teknologi canggih yang dikeluarkan di kilang menyerupai yang asli.

“Ini temasuk mempunyai tanda ‘hologram’ sama dan cetakan muka album sama dengan yang asli.

“Kita jual kepada pemborong RM10, misalnya, kerana harga siling CD dan VCD asli ialah RM19.90 di pasaran, tetapi harga cetak rompak hampir sama malah lebih tinggi daripada yang asli.

“Jika artis terkenal, dahulu kita boleh menjual sehingga 10,000 unit album, tetapi sekarang hanya 5,000 unit sahaja. Tambah buruk bagi artis yang baharu hendak menempa nama,” katanya.

Menurut Embat lagi, kali terakhir pihaknya berdialog dengan PBT ialah pada tahun 2013 dan sejak dua tahun kebelakangan ini, penggiat seni tidak lagi diendahkan.

Justeru, beliau menyeru sokongan dan kerjasama semua pihak untuk membantu menyelesaikan perkara itu daripada berlarutan.

Pada masa sama, beliau berkata Karnival Jelajah Artis Sarawak akan diadakan bermula 30 April tahun hadapan di Miri, Bintulu, Mukah, Saratok, Sri Aman, Kuching dan Sibu melibatkan 128 artis Dayak.

Ia sebagai usaha untuk memartabatkan industri itu selain memperjuangkan cara bagi membanteras masalah CD dan VCD cetak rompak.