Pecah rumah: Penagih dadah suspek utama

0
BARANG CURI: Antara barang yang dijumpai disembunyikan di dalam bilik tidur suspek.

BARANG CURI: Antara barang yang dijumpai disembunyikan di dalam bilik tidur suspek.

KUCHING: Polis berjaya menangkap seorang penagih dadah yang dipercayai suspek utama kes pecah masuk rumah milik Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri di Kampung Taee, Serian baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata lelaki berusia 31 terbabit yang berasal dari kampung sama ditahan di rumahnya oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian sekitar jam 8 malam kelmarin.

Menurut Dev, semasa tangkapan pihaknya turut menemui beberapa barang elektrik serta perkakas rumah yang dilaporkan hilang dari rumah milik Setiausaha Politik tersebut di dalam bilik tidur suspek.

“Satu serbuan telah dilakukan dan anggota dari IPD Serian diketuai Sub-Inspektor John Berma berjaya menahan suspek serta menemui semula barang-barang yang dilaporkan hilang di dalam bilik tidur suspek.

“Suspek yang merupakan penagih dadah mengaku melakukan jenayah tersebut seorang diri dengan mengangkut kesemua barang-barang tersebut menggunakan sebuah van,” kata Dev.

Beliau menambah, antara barang-barang yang ditemui semula ialah sebuah televisyen, sistem teater rumah, pemain DVD, gergaji berantai, pembersih hampagas dan beberapa barang lain yang dianggarkan bernilai RM8,000.

Dev juga tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Daerah Serian dan kawasan sekitar.

Difahamkan, pada Khamis minggu lepas, seorang Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membuat laporan polis selepas mendapati rumahnya dimasuki pencuri sekitar jam 3 petang.

Menurut Dev, suspek dikatakan memasuki rumah berkenaan dengan merosakkan pintu belakang.

“Siasatan berhubung kes masih dijalankan dan suspek kini ditahan reman selama empat hari,” kata Dev.