Pekerja hilang telefon bimbit milik syarikat

0

LIMBANG: Seorang pekerja swasta di sini mengalami kerugian RM1,500 selepas telefon bimbit jenis Samsung milik syarikatnya yang disimpan dalam laci meja pejabat mereka lesap pada 16 November lalu.

Dalam kejadian jam 7.45 itu mangsa, 42, menyedari telefon bimbit berkenaan hilang bagaimanapun laporan polis dibuat mangsa petang kelmarin.

Menurut mangsa, telefon berkenaan digunakan kali terakhir pada 11 November lalu sebelum disimpan dalam laci mejanya yang tidak berkunci.

Difahamkan telefon itu digunakan hampir dua tahun untuk tujuan mangsa menghantar laporan kerja ke cawangan syarikatnya di Miri.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, lokasi kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tidak berfungsi dan tiada pengawal keselamatan menjaga pejabat itu.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk di dalam pejabat mangsa,” katanya di sini semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam bangunan).