Pencapaian seimbang anak-anak bentuk modal insan berkualiti

0

SRI AMAN: Pencapaian seimbang anak-anak dari segi akademik, kokurikulum dan sukan secara tidak langsung membentuk modal insan berkualiti.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata mentaliti ibu bapa perlu berubah sekiranya mahu anak-anak mencapai keseimbangan.

“Kerajaan mahu ibu bapa menyerap ketiga-tiga bidang itu secara seimbang kepada anak-anak mereka sekali gus dapat menyumbang modal insan yang sempurna di negara ini.

“Kita tidak mahu melihat ibu bapa hanya menggalakkan anak-anak menitikberatkan salah satu daripada tiga bidang tersebut,” katanya pada Majlis Penangguhan Pemilihan Atlet Zon Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata kerajaan menyasarkan tiga aspek utama iaitu kaum, agama dan budaya dicapai melalui aktiviti kesukanan.

Ketiga-tiga aspek ini penting kepada seseorang atlet sukan memandangkan mereka tergolong dalam kumpulan modal insan berkualiti.

“Penting bagi semua pihak termasuk ibu bapa dan guru menjayakan sesebuah aktiviti kesukanan mencakupi aspek kaum, agama dan budaya di sekolah,” katanya.

Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Mohd Yusuf Lugom.

Harden turut mengagihkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Zon Sri Aman untuk menjalankan aktiviti mereka.