Peruntukan terhad punca sekolah terus daif

0

Oleh Patricia Gari//

 

KUCHING: Peruntukan yang tidak mencukupi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) punca utama banyak sekolah daif di Sarawak tidak dapat diselenggara dan dibaik pulih.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pada tahun 2014, Sarawak mengemukakan permohohan bagi tujuan itu untuk tahun 2015 berjumlah RM422,562,559.

Bagaimanapun ujarnya peruntukan yang diperolehi daripada KPM bagi tahun ini hanya RM95 juta.

“Permohonan peruntukan untuk tahun ini telah dihantar pada 2014 iaitu peruntukan RM422,562,559 melibatkan 483 sekolah daif di seluruh Sarawak. Namun kita hanya memperoleh RM95 juta.

“Peruntukan RM95 juta ini sememangnya tidak mencukupi untuk menaik taraf 483 sekolah daif yang disenaraikan, disebabkan itu keutamaan diberikan kepada sekolah yang benar-benar daif, hanya menunggu rebah,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui semasa melawat enam buah keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang kelmarin (Isnin).

Fatimah selaku menteri bertanggungjawab terhadap pendidikan di Sarawak, berkata situasi itu juga telah menyebabkan sekolah yang daif akan menjadi semakin daif dari setahun ke setahun.

Mengulas lanjut mengenai sekolah daif di Sarawak Fatimah berkata ia dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu daripada 483 disenaraikan, 37 di bandar, 283 (luar bandar) dan 208 terletak di pedalaman.

“Sebenarnya bilangan sekolah daif di Sarawak adalah sangat tinggi kalau mengambil kira asrama yang daif iaitu jumlah keseluruhannya 681 dan dengan peruntukan sebanyak itu, tidak banyak dapat dilakukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Isnin lalu mengatakan sebanyak 124 sekolah di Sarawak mengalami masalah infrastruktur yang ‘rosak teruk’ dan perlu dibaiki segera.

Laporan itu menyatakan bahawa lawatan audit ke 145 sekolah di negeri itu, mendapati 85.5 peratus daripadanya berada dalam keadaan usang, struktur kayu reput, tanah mendap, struktur konkrit rosak dan mempunyai masalah serangan anai-anai yang boleh mengancam keselamatan.

Laporan itu berpendapat infrastruktur yang rosak teruk hendaklah dibaiki dengan segera untuk memastikan kemudahan asas disediakan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada warga sekolah.

Menurut laporan itu lagi, berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) setakat 31 Disember 2014, sebanyak 388 daripada 1,452 sekolah di negeri ini diklasifikasikan sebagai rosak teruk, 327 rosak sedikit dan 464 rosak sederhana.

Bagi tempoh 2012 hingga 31 Disember 2014, JPNS telah menerima peruntukan berjumlah RM202.52 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur sekolah di negeri itu.

“Kerja-kerja telah dilaksanakan dengan memuaskan namun masih terdapat bangunan yang rosak teruk di sekolah berkenaan yang belum dibaiki disebabkan peruntukan terhad,” kata laporan itu.