Rakyat Sarawak harus menyokong Najib: Masing

0

Oleh Reno Benjamin//

 

KANOWIT: Rakyat Sarawak harus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau telah memberi banyak pembangunan kepada negeri ini.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata berbanding Perdana Menteri terdahulu, Najib banyak membawa pembangunan kepada Sarawak.

“Sehubungan itu, kita harus menyokong kepimpinan beliau kerana banyak pembangunan diberikan kepada Sarawak,” katanya pada Malam Kebudayaan Pesta Kanowit di sini, kelmarin.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata, sebagai contoh pembinaan Jambatan Kanowit merupakan sebahagian daripada projek Jalan Kanowit-Song-Kapit yang memberi manfaat kepada semua.

Di samping itu, pekan Kanowit juga terus berkembang dan menikmati lebih banyak pembangunan pada masa depan.

“Semua ini menjadi kenyataan atas usaha Perdana Menteri dan usaha gigih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna,” katanya.

Menyentuh mengenai Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Masing berkata kedua-dua parti itu perlu menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) jika mahu menggunakan logo BN bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau memberitahu, untuk menggunakan logo BN mereka perlu menyertai semula Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang merupakan parti lama masing-masing atau bertanding menggunakan logo sendiri.

“Bagi saya ia adalah mudah. Sama ada kedua-dua ahli parti itu kembali ke parti lama masing-masing atau mereka bertanding menggunakan logo sendiri dan tidak menumpang populariti BN,” katanya.