SPDP pertaruh pensyarah IPT di Batu Danau

0
MESRA: Tuai Rumah Labat  Lenggang (membelakangkan kamera) memeluk Dr Syafiq sebaik beliau tiba di Kampung Ukong Limbang sambil diperhatikan oleh isteri Dr Syafiq, Fatimah Marzuki. — Gambar ihsan Xavier Ginafah Sidop

MESRA: Tuai Rumah Labat Lenggang (membelakangkan kamera) memeluk Dr Syafiq sebaik beliau tiba di Kampung Ukong Limbang sambil diperhatikan oleh isteri Dr Syafiq, Fatimah Marzuki. — Gambar ihsan Xavier Ginafah Sidop

MIRI: SPDP Cawangan Batu Danau berikrar mempertahan kerusi itu untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan mempertaruh seorang anak jati kawasan itu yang juga pengerusi SPDP Batu Danau.

Berasal dari Kampung Ukong, Batu Danau, Limbang dan bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak, Profesor Dr Mohd Syafiq Abdullah merupakan calon paling pasti untuk SPDP di kerusi tersebut.

Justeru, bagi menyahut cabaran partinya dan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing, pensyarah institut perubatan itu yang berbangsa Bisaya Islam kini kembali ke kampung halamannya memulakan ‘kempen’ menyatupadukan ahli SPDP dan penduduk di kawasan itu agar kembali berganding bahu demi BN.

“Apa juga alasan SPDP terus mempertahan kerusi Batu Danau dan saya memohon kepada ahli parti agar tidak mendengar sebarang hasutan pihak-pihak tertentu yang ingin memecah belah kedudukan terutama perpaduan kalangan ahli dan rakyat di sini,” katanya dalam ucapan pertama semasa mengadakan lawatan kerja ke Rumah Manai di sini.

Diiringi ahli exco parti, Dr Syafiq berkunjung ke Rumah Manai Awing di Merutup, Limbang sebagai langkah pertama beliau dalam Program Lawatan Kerja SPDP menyahut harapan presiden parti yang inginkan ketua-ketua cawangan sentiasa bekerja keras turun padang mendekati dan meninjau perkembangan semasa rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya amat gembira misi ini disambut baik oleh penduduk di sini dan merupakan peluang saya memudahkan berinteraksi dengan rakyat dan berusaha menyelami hasrat dan keperluan mereka khususnya penduduk di Batu Danau,” jelasnya.

Menurutnya, program tersebut merupakan usaha parti itu memberi penjelasan kepada rakyat khususnya di Batu Danau bahawa SPDP tetap wujud dan mempertahan kerusinya yang kini masih disandang oleh Paulus Palu Gumbang daripada TERAS, sebuah parti yang baharu ditubuhkan.

Mengenai khabar angin digembar-gemburkan bahawa orang ramai menyertai parti baharu itu, beliau kesal dan hairan kerana SPDP adalah sebuah parti komponen BN namun tindakan menyertai parti yang belum ada kedudukan dalam BN dilihat cuba mengetepikan SPDP seolah-olah gabungan parti pembangkang.

Dr Syafiq berharap semua ahli komponen BN sentiasa berusaha merapatkan semangat saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan BN memperolehi majoriti besar pada PRN akan datang.

Semantara itu, Tuai Rumah Manai dalam ucapannya menyifatkan lawatan tersebut merupakan satu suntikan memberi harapan baharu untuk mereka mendapat peluang dan agihan projek pembangunan kerajaan.

Beliau memberi jaminan walaupun majoriti pengundi kawasan itu kaum Iban namun kerana pengundi kaum Iban menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bermakna mereka memberi sokongan penuh kepada Dr Syafiq jika dicalonkan di kerusi Batu Danau.

Malah wakil lima rumah panjang yang turut hadir pada majlis itu meminta SPDP dan BN terus membangunkan kawasan mereka dengan keperluan asas seperti air, elektrik dan jalan raya yang sempurna.

Turut hadir bekas Kaunselor merangkap Naib Pengerusi II SPDP Batu Danau Jostly Umpi Agong.

Pada hari yang sama, Dr Syafiq dan rombongan turut mengunjungi Rumah Labat Lenggang serta Rumah Beti di Kampung Ukong Limbang dan beliau disambut serta diterima baik.