SPRM Sarawak bersedia sepenuhnya kendali PRN

0

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN), bila-bila masa sahaja ia akan diadakan.

Pengarahnya Datuk Badrul Shah Norman berkata jentera SPRM Sarawak telah diberi latihan dan taklimat bagi memastikan pilihan raya ini benar-benar bersih daripada elemen rasuah.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas ketika ditanya apakah ada antara parti-parti yang bertanding menghantar senarai nama calon mereka untuk diperiksa latar belakangnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Malam Apresiasi SPRM Sarawak Bersama Media di Akademi Percukaian Malaysia, dekat sini kelmarin.

Berhubung status kes rasuah yang melibatkan seorang menteri muda Sarawak, Badrul berkata kes tersebut telah diserahkan kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

“Kami masih menunggu keputusannya,” katanya sambil menambah kes tersebut juga telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. — Bernama