Tangkapan rasuah di Sarawak naik, 65 tangkapan setakat November

0
MERAIKAN MEDIA: Badrul (baris depan, tengah) bersama pegawai SPRM Sarawak bergambar dengan wakil-wakil media sempena Majlis Malam Apresiasi SPRM Sarawak Bersama Media di Kuching, kelmarin.

MERAIKAN MEDIA: Badrul (baris depan, tengah) bersama pegawai SPRM Sarawak bergambar dengan wakil-wakil media sempena Majlis Malam Apresiasi SPRM Sarawak Bersama Media di Kuching, kelmarin.

KUCHING: Tangkapan rasuah di Sarawak terus meningkat apabila sebanyak 65 tangkapan direkodkan setakat November ini berbanding 45 tangkapan pada 2013 dan 59 tangkapan pada tahun lepas.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Datuk Badrul Shah Norman berkata tangkapan pada tahun ini melibatkan seramai 16 pegawai badan awam yang merangkumi tiga orang daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta 13 orang daripada Kumpulan Sokongan.

Beliau menambah, selebihnya adalah melibatkan 30 orang awam dan 19 orang syarikat swasta.

“Setakat tahun ini, SPRM Sarawak telah membuka 80 kertas siasatan daripada 374 maklumat yang diterima dan daripada jumlah itu, seramai 35 orang telah dituduh di mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah rasuah.

“Nilai denda yang dikutip berikutan sabitan hukuman di mahkamah adalah sebanyak RM413,527,” katanya pada Majlis Malam Apresiasi SPRM Sarawak Bersama Media di sini, kelmarin.

Menurut Badrul, SPRM Sarawak sepanjang tahun ini juga telah mengadakan pelbagai program pencegahan rasuah yang melibatkan parti politik, pemimpin kaum Cina, masyarakat luar bandar serta agensi berkaitan.

Selain itu, katanya mesej antirasuah turut disebar luas kepada kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya ingin menekankan bahawa SPRM Sarawak akan terus menggiatkan lagi usaha-usaha pencegahan rasuah dan melipatgandakan aktiviti operasi bagi membanteras jenayah rasuah di Sarawak di samping mendidik masyarakat agar membenci perbuatan rasuah.

“Ini selaras dengan hasrat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM secara keseluruhannya,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai di negeri ini tampil untuk memberi lebih maklumat kepada SPRM berkaitan jenayah rasuah.